ENAKMEN 6 TAHUN 2004
ENAKMEN KELUARGA ISLAM (PERAK) 2004
BAHAGIAN VI - NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN
Seksyen 74. Kuasa Mahkamah untuk memerintahkan nafkah bagi kanak-kanak
(1) Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seseorang bapa membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya-
(a) jika dia enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;
(c) dalam masa menanti keputusan sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri;
(d) apabila membuat atau selepas daripada membuat suatu perintah meletakkan anak itu dalam jagaan mana-mana orang lain; atau
(e) apabila memberikan kebenaran kepada bapa itu untuk berpoligami di bawah seksyen 23.
(2) Mahkamah juga mempunyai kuasa memerintahkan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak supaya membayar nafkah atau memberi sumbangan terhadap nafkah seseorang anak jika Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada kemampuannya adalah munasabah bagi Mahkamah memerintahkan sedemikian.
(3) Suatu perintah di bawah subseksyen (1) atau (2) boleh mengarahkan supaya pembayaran dibuat kepada orang yang menjaga atau memelihara dan mengawal anak itu atau kepada pemegang amanah bagi anak itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.