ENAKMEN 14 TAHUN 1978
ENAKMEN PENTADBIRAN IGAMA ISLAM 1978

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

Dalam Enakmen ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain:

"Anak Dara" ertinya seorang perempuan yang belum pernah berkahwin atau belum pernah bersetubuh mengikut mana-mana kehendak Hukum Syarak;

"Belanja dan Hantaran" ertinya wang dan barang-barang yang dijanjikan mengikut adat tempatan di antara pihak lelaki dan pihak perempuan di masa pertunangan yang akan dijelaskan menurut persetujuan;

"Fasakh" ertinya tuntutan supaya sesuatu nikah itu diputuskan dengan sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syarak;

"Hukum Syarak" ertinya undang-undang Islam dalam mana-mana Mazhab yang sah;

"Iddah" ertinya tempoh atau masa bagi seorang perempuan ditegah oleh Hukum Syarak ianya bernikah;

"Isteri" ertinya seorang perempuan yang telah berkahwin dan perkahwinannya masih berjalan;

"Jabatan" ertinya Jabatan Igama Islam Negeri Johor;

"Janda" ertinya seorang perempuan yang telah bercerai samada sudah bersetubuh atau belum;

"Kadi" ertinya seorang Kadi yang dilantik menurut peruntukan dalam Enakmen ini dan termasuklah Kadi Besar;

"Kadi Besar" ertinya Kadi Besar yang dilantik menurut peruntukan Enakmen ini;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Kadi atau Mahkamah Rayuan menurut mana-mana yang berkenaan;

"Mahkamah Rayuan" ertinya Mahkamah Rayuan yang ditubuhkan menurut peruntukan Enakmen ini;

"Majlis" ertinya Majlis Igama Islam Negeri Johor yang ditubuhkan menurut peruntukan Enakmen ini;

"Maskahwin" ertinya sesuatu yang wajib diberi oleh suami kepada isteri disebabkan akad-nikah yang sah;

"Muallaf" ertinya seorang yang baru masuk Islam yang masih lemah imannya;

"Mufti" ertinya seorang yang dilantik menjadi Mufti menurut peruntukan Enakmen ini dan termasuklah Timbalan Mufti;

"Muncikari" ertinya orang yang menjalankan pekerjaan sebagai orang-tengah di antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi tujuan persetubuhan haram;

"Mut'ah" ertinya pemberian yang wajib oleh suami kepada jandanya kerana bercerai;

"Nafkah" ertinya perbelanjaan yang wajib mengenai makanan, pakaian dan tempat kediaman bagi isteri, anak-anak dan janda mengikut Hukum Syarak;

"Nazar" ertinya ikrar seseorang melazimkan diri membuat sesuatu kebajikan menurut Hukum Syarak;

"Orang Islam" ertinya orang yang berketurunan daripada kedua atau salah seorang ibu-bapanya orang Islam atau orang yang telah memeluk Igama Islam di bawah Enakmen ini dan tidak pula membuat perisytiharan keluar daripada Igama Islam;

"Peguam Syar'i" ertinya orang-orang yang telah mendapat surat akuan kebenaran dan boleh menjadi Wakil bagi mana-mana pihak di dalam mana-mana Mahkamah di bawah Enakmen ini;

"Pemeriksa Halehwal Igama" ertinya pegawai-pegawai yang dilantik kerana menjalankan kuatkuasa Enakmen ini dan termasuklah Pegawai-pegawai yang diberi kuasa pada bila-bila masa kerana menjalankan kuatkuasa Enakmen ini;

"Pendaftar" ertinya seorang yang dilantik sebagai Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk menurut peruntukan Enakmen ini;

"Pendakwa" ertinya pegawai yang dilantik untuk menjalankan pendakwaan dalam mana-mana Mahkamah menurut peruntukan Enakmen ini;

"Rujuk" ertinya kembali semula suami isteri yang telah bercerai kepada nikahnya yang dahulu mengikut Hukum Syarak;

"Taklik" ertinya ikrar yang diperbuat oleh suami sesudah akad-nikah;

"Talak" ertinya cerai mengikut Hukum Syarak;

"Tauliah" ertinya suratkuasa yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan;

"Tebus Talak" ertinya memutuskan nikah dengan bayaran oleh isteri kepada suami dengan persetujuan kedua-dua pihak;

"Timbalan Mufti" ertinya Timbalan Mufti yang dilantik menurut peruntukan Enakmen ini;

"Wali" ertinya seorang yang berhak menurut Hukum Syarak meakad-nikahkan seorang perempuan;

"Wasiat" ertinya ikrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya untuk menyempurnakan sesuatu kebajikan atau tanggungan menurut Hukum Syarak selepas mati;

"Yang Dipertua" ertinya Yang Dipertua Jabatan Igama Islam Negeri Johor.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.