ENAKMEN 1 TAHUN 1984
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1979
BAHAGIAN VII - HADHANAH
Seksyen 74. Kuasa Mahkamah membuat perintah hadhanah.
(1) Walauapapun peruntukan seksyen 69 di atas Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan perintah memilih untuk meletakkan seorang anak dalam hadhanah salah seorang daripada orang-orang yang tersebut di dalam seksyen itu atau, jika dalam hal keadaan yang luar biasa Mahkamah berpendapat bahawa anak itu tidak patut diamanahkan kepada salah seorang daripada orang-orang itu, Mahkamah boleh dengan perintah meletakkan anak dalam hadhanah mana-mana orang lain atau mana-mana persatuan yang tujuannya adalah termasuk kebajikan anak.
(2) Apabila menentukan kepada siapa hadhanah seorang anak patut diletakkan pertimbangan yang utama ialah kebajikan anak itu dan tertakluk kepada syarat ini Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada-
(
a
)
kemahuan ibubapa anak itu; dan
(
b
)
kemahuan anak itu, jika ia telah meningkat umur mumaiyiz.
(3) Adalah menjadi suatu anggapan boleh sangkal bahawa untuk kebaikan seorang anak semasa ia kecil anak itu hendaklah berada bersama ibunya tetapi apabila menentukan sama ada anggapan itu patut disangkal dalam suatu kes, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada kemungkinan terganggunya kehidupan anak itu dengan bertukar-tukarnya hadhanah.
(4) Jika terdapat dua orang atau lebih anak dari suatu pernikahan, Mahkamah tidaklah terikat meletakkan kedua-dua atau kesemuanya dalam hadhanah orang yang sama tetapi hendaklah menimbangkan kebajikan tiap-tiap seorangnya secara berasingan.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.