ENAKMEN 14 TAHUN 1978
ENAKMEN PENTADBIRAN IGAMA ISLAM 1978

BAHAGIAN IV
PERLANTIKAN DAN PENUBUHAN MAHKAMAH



Seksyen 64. Rayuan Jenayah.

(1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen-kecil (1) (a) kepada seksyen 60 dalam Enakmen ini, sesiapa yang tidak puashati dengan keputusan, hukuman atau perintah Mahkamah dalam mana-mana pembicaraan jenayah di bawah Enakmen ini yang ianya adalah satu pihak, bolehlah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan yang ditubuhkan menurut peruntukan Enakmen ini.

(2) Rayuan itu hendaklah dibuat dengan memfailkan satu petisyen rayuan dalam Mahkamah yang keputusannya dirayukan dialamatkan kepada Mahkamah Rayuan, menyebutkan perihal pengaduan hukuman, samada rayuan itu ialah terhadap hukuman atau keputusan atau kedua-duanya dan alasan-alasan merayu, dan dengan menjelaskan bayaran rayuan yang ditetapkan. Rayuan yang demikian hendaklah dibuat tidak lebih daripada empat belas hari selepas diberi keputusan dikecuali atas permohonan kepada Mahkamah Rayuan tempoh empat belas hari itu dilanjutkan.

(3) Tiap-tiap petisyen rayuan hendaklah mengandungi alamat pihak yang meminta rayuan atau Peguam Syar'i supaya dihantarkan kenyataan atau surat-surat berhubung dengan rayuan itu.

(4) Apabila permohonan yang demikian diterima, maka Mahkamah hendaklah menyediakan dan menghantarkan kepada Mahkamah Rayuan empat naskhah rekod mengandungi satu salinan petisyen rayuan, satu salinan nota pembicaraan Mahkamah, salinan-salinan dokumen yang bersangkutan dan satu salinan keputusan atau perintah Mahkamah dan alasan-alasan keputusan. Tiap-tiap naskhah rekod hendaklah diakui sah dan betul oleh Kadi yang membicarakan serta dibubuh meteri. Pihak yang menuntut rayuan adalah berhak mendapat satu salinan rekod itu dengan menjelaskan bayaran yang ditetapkan dan Mahkamah hendaklah dengan tiada bayaran, menghantarkan satu salinan kepada Peguam Syar'i yang akan hadir sebagai wakil bagi pihak menentang dan rayuan.

(5) Mahkamah Rayuan kemudian hendaklah menetapkan tarikh mendengar rayuan dan memberitahu segala pihak mengenai tarikh dan tempat rayuan itu akan didengar.

(6) Bila ada rayuan untuk didengar maka Mahkamah Rayuan hendaklah mendengar pihak yang merayu, dan jika difikirkan mustahak, maka pihak menentang bagi rayuan itu, kemudian bolehlah membuat apa-apa perintah mengikut seksyen-kecil (1) (
a) kepada seksyen 63 dalam Enakmen ini sebagaimana yang difikirkan patut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.