ENAKMEN 3 TAHUN 2002
ENAKMEN PENGAWALAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA ISLAM (MELAKA) 2002

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain —

“ditetapkan” ertinya ditetapkan melalui peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini;

“Enakmen ini” termasuklah apa-apa peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini;

“Jabatan” ertinya Jabatan Agama Islam Melaka;

“Jemaah” ertinya Jemaah Pengurusan Sekolah Agama Islam yang ditubuhkan di bawah seksyen 12;

“Kerajaan Negeri” ertinya Kerajaan Negeri Melaka;

“kurikulum” ertinya kurikulum yang ditetapkan;

“Lembaga Penasihat” ertinya badan yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja yang dikenali dengan nama “Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam”;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Melaka yang ditubuhkan di bawah seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Melaka)1991 [Enakmen No.5 Tahun 1991];

“Nazir Sekolah” ertinya Nazir Sekolah Agama Islam yang dilantik di bawah seksyen 19;

“orang yang diberi kuasa” ertinya mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis di bawah seksyen 20 untuk menjalankan kuasa dan melaksanakan fungsi dan kewajipan Nazir Sekolah;

“Pendaftar” ertinya Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 3;

“Pengarah” ertinya Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka;

“Penolong Pendaftar” ertinya Penolong Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 3;

“Pihak Berkuasa Negeri” ertinya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka;

“sekolah agama” ertinya mana-mana sekolah agama Islam di dalam Negeri Melaka dan termasuklah masjid, madrasah, surau, pusat Islam, balai Islam, pondok dan tadika Islam di mana sepuluh orang atau lebih didaftarkan untuk mempelajari atau akan diajari apa-apa mata pelajaran yang termasuklah mata pelajaran yang berhubungan dengan agama Islam, tetapi tidak termasuk mana-mana sekolah agama Islam yang ditubuhkan oleh atau di bawah kawalan sepenuhnya Kementerian Pendidikan;

“surat cara pengurusan” ertinya surat cara pengurusan sesuatu sekolah agama Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam seksyen 12;

“Timbalan Pendaftar” ertinya Timbalan Pendaftar yang dilantik di bawah seksyen 3.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.