ENAKMEN 5 TAHUN 1990
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1990
BAHAGIAN X - AM
Seksyen 135. Kuasa bagi membuat kaedah-kaedah.
(1) Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, boleh, melalui pemberitahuan dalam
Warta
, membuat kaedah-kaedah untuk mengawal amalan dan acara dalam semua perbicaraan hal ehwal suami isteri di bawah Enakmen ini mengikut sebagaimana yang difikirkannya bermanfaat dan kaedah-kaedah untuk menetap dan mengawal fee dan kos yang kena dibayar dalam semua perbicaraan itu; tertakluk kepadanya itu, semua perbicaraan di bawah Enakmen ini hendaklah dikawal oleh amalan dan acara Mahkamah yang ditetapkan oleh Enakmen setakat mana amalan dan acara itu tidak berlawanan dengan Enakmen ini.
(2) Mengenai perkara amalan dan acara dalam perbicaraan hal ehwal suami isteri yang tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Enakmen ini atau dalam apa-apa kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini atau dalam Enakmen, Mahkamah boleh memakai apa-apa amalan dan acara yang difikirkannya wajar bagi mengelakkan ketidakadilan dan bagi menyelesaikan perkara-perkara yang dipersoalkan antara pihak-pihak.
(3) Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, boleh, melalui pemberitahuan dalam
Warta
, membuat kaedah-kaedah bagi maksud Enakmen ini dan, tanpa menyentuh keluasan yang tersebut itu, kaedah-kaedah itu boleh mengadakan peruntukan-peruntukan bagi-
(a)
cara bagaimana Pendaftar-pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam hendak menjalankan kuasa-kuasa yang diberi kepada mereka oleh Enakmen ini;
(b)
bentuk Daftar-daftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk dan surat-surat perakuan nikah, perceraian dan rujuk dan cara bagaimana daftar-daftar dan surat-surat perakuan dikehendaki disimpan;
(c)
membekal dan menyimpan dengan selamat Daftar-daftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, bukunota-bukunota Pendaftar dan segala akuan yang dibuat bagi maksud-maksud Enakmen ini;
(d)
menyedia dan mengemukakan penyata-penyata perkahwinan, perceraian dan rujuk yang didaftarkan di bawah Enakmen ini;
(e)
bentuk apa-apa perakuan, notis atau lain-lain dokumen yang dikehendaki bagi maksud melaksanakan Enakmen ini;
(f)
membuat pencarian-pencarian dan memberi salinan-salinan yang diperakui;
(g)
fee yang boleh dikenakan bagi maksud-maksud Enakmen ini;
(h)
hukuman-hukuman kerana melanggar atau tidak mematuhi mana-mana kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini; dan
(i)
lain-lain perkara bagi maksud melaksanakan Enakmen ini.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.