ENAKMEN 1 TAHUN 1983
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1983

BAHAGIAN VI - HADHANAH ATAU PENJAGAAN KANAK-KANAK



Seksyen 88. Perintah khas mengenai harta kanak-kanak.


(1) Jika memandang kepada taraf kehidupan kanak-kanak itu dan kepada nilai hartanya dan juga kepada segala hal keadaan kes yang berkenaan adalah didapati bermanfaat supaya harta modal kanak-kanak itu digunakan bagi menanggung nafkah, pelajaran atau kemajuannya dengan cara yang boleh mengelakkan belanja bagi membuat permohonan kepada Mahkamah, maka Mahkamah selain daripada melantik penjaga bagi harta kanak-kanak itu, boleh memerintahkan supaya segala harta kanak-kanak itu dari jenis apa jua jenis pun, diletakkan dalam tangan seseorang yang akan dilantik oleh Mahkamah, dengan kuasa penuh untuk membuat apa-apa urusan dan untuk menggunakan bagi maksud yang tersebut menurut budibicaranya sendiri bebas dari apa-apa kawalan; dan dalam hal yang demikian resit dari orang yang dilantik sedemikian adalah menjadi akaun penyelesaian yang sewajarnya bagi sesiapa jua yang membuat apa-apa pembayaran atau pindah milik apa-apa harta kepadanya bagi pihak kanak-kanak itu.

(2) Seseorang yang dilantik sedemikian boleh diperintahkan oleh Mahkamah supaya mengemukakan suatu akaun mengenai urusan-urusan yang dibuat olehnya mengenai harta kanak-kanak itu.

(3) Mahkamah boleh, kerana sesuatu sebab yang mencukupi membatalkan apa-apa perintah, atau memansuhkan apa-apa perlantikan, yang dibuat menurut seksyen-kecil (1), dan boleh melantik seorang lain dengan memberi kepadanya kuasa yang sama atau apa-apa kuasa yang lebih besar atau lebih kecil yang difikirkannya patut, atau boleh melantik seorang penjaga bagi harta kanak-kanak itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.