ENAKMEN 4 TAHUN 1994
ENAKMEN MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN 1994

BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN



Seksyen 5. Penubuhan dan memperbadankan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

(1) Maka adalah dengan ini ditubuhkan suatu badan yang dikenali sebagai "Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan", bagi membantu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan dan hendaklah bertindak di atas titah perintah Baginda di dalam semua perkara yang berkenaan dengan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan Majlis hendaklah menjadi pihak berkuasa yang utama di Negeri ini dalam semua perkara mengenainya.

(2) Majlis hendaklah menjadi sebuah pertubuhan perbadanan yang kekal turun temurun dan mempunyai suatu meterai perbadanan yang boleh, dari semasa ke semasa dipecahkan, diubah, ditukar dan dibuat baru sebagaimana difikirkan patut oleh Majlis dan sehingga diadakan meterai di bawah seksyen ini, maka suatu meterai yang mengandungi tulisan "Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan" bolehlah digunakan sebagai meterai perbadanan.

(3) Majlis boleh mendakwa dan didakwa dengan nama perbadanannya.

(4) Mohor Majlis hendaklah disahkan oleh Yang Dipertua dan Setiausaha Majlis atau seorang lagi ahli Majlis dan mana-mana surat yang diakui dimeterai dengan meterai tersebut hendaklah, kecuali ditunjukkan sebaliknya, disifatkan telah sempurna dijalankan.

(5) Dokumen yang berkehendakkan memakai meterai Majlis termasuk -

(6) Meterai Majlis hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.

(7) Semasa tidak digunakan, Meterai Majlis hendaklah sentiasa dalam simpanan Setiausaha Majlis.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.