ENAKMEN 3 TAHUN 1997
ENAKMEN KANUN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1997

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Kanun ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"aduan" ertinya pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tak diketahui telah melakukan atau bersalah atas suatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim itu di bawah Kanun ini;


"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1978 [En. No. 14/78] bagi Negeri Johor.

"Hakim" ertinya seseorang Hakim yang dilantik di bawah seksyen 6 dan 7 Enakmen Mahkamah Syariah 1993 [En.12/93];

"kesalahan" ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam dan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa;

"kesalahan boleh tangkap" ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran;

"kesalahan tak boleh tangkap" ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis tidak boleh menangkap tanpa waran;

"Ketua Hakim Syari" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1993;

"Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama" dan "Pegawai Penguatkuasa Agama" mempunyai erti masing-masing yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1993;

"Ketua Pendakwa Syar'i" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1993;

"Mahkamah" atau "Mahkamah Syariah" mempunyai erti yang dberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1993;

"Majlis" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Mufti" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"Peguam Syar'i" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1993;

"Pendaftar" ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 1993;

"Pendakwa" ertinya Ketua Pendakwa Syar'i atau Pendakwa Syar'i;

"Pendakwa Syar'i" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1993;

"Pengerusi" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Mahkamah Syariah 1993;

"pesalah muda" ertinya seseorang pesalah yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan kurang daripada enam belas tahun;

"saksi" tidaklah termasuk seseorang tertuduh;


(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Kanun ini dan tidak ditakrifkan dalam Kanun ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 [Akta 388] dan 1967 hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Jika timbul apa-apa persoalan atau pertikaian dalam apa-apa kes tentang tafsiran mana-mana perkataan, ungkapan atau istilah yang berhubungan dengan Hukum Syarak, Mahkamah yang membicarakan kes itu hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk memberikan tafsiran kepada perkataan, ungkapan atau istilah itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.