ENAKMEN 3 TAHUN 1987
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1987

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 28. Perlantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam.


(1) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju' di bawah Enakmen ini.

(2) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana daerah dalam Negeri Pahang sebagaimana ditentukan dalam perlantikan itu.

(3) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana kawasan dalam Negeri Pahang sebagaimana ditentukan dalam perlantikan itu.

(4) Tiap-tiap wali Hakim hendaklah kerana jawatannya menjadi Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi kawasannya.

(5) Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh, melalui pemberitahuan am dalam Warta, melantik mana-mana anggota staf diplomatik Malaysia yang beragama Islam di mana-mana negara untuk menjadi Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini di negara itu.

(6) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (2) dan (3) yang bukan pengkhidmat awam hendaklah disifatkan sebagai pengkhidmat awam bagi maksud-maksud Kanun Keseksaan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.