ENAKMEN 7 TAHUN 1993
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

BAHAGIAN II - MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG



Seksyen 4. Penubuhan Majlis.

(1) Maka hendaklah ditubuhkan satu badan yang dikenali sebagai "Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang" bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara yang berkaitan dengan agama Islam.

(2) Apabila mula berkuatkuasanya seksyen ini, Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai yang wujud menurut kuasa seksyen 4 Undang-Undang Pentadbiran Ugama Islam Tahun 1959 [Enakmen 3/1959] hendaklah disifatkan sebagai Majlis yang disebut di dalam subseksyen (1).

(3) Majlis hendaklah menjadi sebuah pertubuhan perbadanan yang kekal turun temurun dan mempunyai suatu meterai perbadanan dan meterai itu boleh dari masa ke semasa dipecahkan, diubah, ditukar dan dibuat baru sebagaimana difikirkan patut oleh Majlis, dan sehingga diadakan meterai di bawah seksyen ini maka suatu cap yang mengandungi tulisan "Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang" bolehlah digunakan sebagai meterai perbadanan.

(4) Majlis boleh mendakwa dan didakwa dengan nama perbadanannya.

(5) Walau apa pun yang terdapat di dalam Enakmen ini, Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.

(6) Majlis hendaklah mempunyai kuasa-kuasa yang selanjutnya dan menjalankan apa-apa tugas yang diberi oleh Enakmen ini atau mana-mana undang-undang yang lain.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.