ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
Permulaan Kepada Perkahwinan



Seksyen 16. Permohonan untuk kebenaran berkahwin.

(1) Apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan dalam Negeri Pulau Pinang tiap-tiap satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana pihak perempuan itu bermastautin.

(2) Jika pihak lelaki bermastautin di kariah masjid yang berlainan daripada kariah masjid pihak perempuan, atau bermastautin di mana-mana Negeri, permohonannya hendaklah mengandungi atau disertai dengan kenyataan Pendaftar bagi kariah masjidnya atau oleh pihak berkuasa yang hak bagi Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan, yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikan perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar.

(3) Permohonan tiap-tiap satu pihak hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang dicadangkan bagi perkahwinan itu, tetapi Pendaftar boleh membenarkan masa yang lebih singkat dalam mana-mana kes tertentu.

(4) Permohonan kedua-dua pihak hendaklah dianggap sebagai suatu permohonan bersama.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.