ENAKMEN 7 TAHUN 1983
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM NEGERI SEMBILAN 1983

BAHAGIAN III - PENDAFTARAN PERKAHWINAN



Seksyen 28. Perlantikan Ketua Pendaftar, Pendaftar, Timbalan dan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam.

(1) Yang di-Pertuan Besar dengan persetujuan Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin boleh melantik mana-mana pegawai awam yang berkelayakan untuk menjadi Ketua Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju' Orang Islam bagi maksud-maksud Enakmen ini, yang mana adalah berkuasa menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas Pendaftar-Pendaftar dan pendaftaran perkahwinan, perceraian, dan ruju' di bawah Enakmen ini.

(2) Yang di-Pertuan Besar dengan persetujuan Undang Yang Empat serta Tengku Besar Tampin boleh melantik beberapa orang yang berkelayakan sebagaimana yang perlu, untuk menjadi Pendaftar, Timbalan Pendaftar, atau Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju' Orang Islam bagi mana-mana kariah masjid dalam Negeri Sembilan sebagaimana ditentukan dalam perlantikan itu.

(3) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah subseksyen (1) yang bukan pegawai awam hendaklah disifatkan sebagai pegawai awam bagi maksud-maksud Kanun Kesiksaan [N.M.B Bab 45].





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.