ORDINAN 8 TAHUN 1991
ORDINAN KANUN ACARA JENAYAH SYARIAH 1991

BAHAGIAN V - DARIHAL RAYUAN DAN PENYEMAKAN
BAB XVI
Darihal Rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah



Seksyen 137. Prosedur untuk rayuan.

(1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen 135 dan 136, mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan apa-apa keputusan, hukuman atau perintah yang telah dijatuhkan oleh mana-mana Mahkamah Rendah Syariah di dalam satu kes jenayah atau perkara yang mana dia adalah satu pihak, bolehlah membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah terhadap keputusan, hukuman atau perintah berkenaan atas apa-apa kesilapan undang-undang atau fakta atau atas dasar hukuman yang berlebihan atau mana-mana hukuman yang dikatakan tidak memadai, dengan memasukkan rayuan itu dalam tempoh tiga puluh hari daripada tarikh keputusan, hukuman atau perintah berkenaan dikeluarkan atau dibuat, dengan memberi notis rayuan dalam lima salinan kepada Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah berkenaan dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

(2) Tiap-tiap notis rayuan hendaklah mengandungi satu alamat di mana notis atau dokumen berhubung dengan rayuan boleh disampaikan kepada pihak merayu atau wakilnya.

(3) Apabila satu notis rayuan telah dibuat, maka Mahkamah Rendah Syariah yang menerima notis rayuan itu hendaklah membuat satu salinan alasan keputusan yang bertandatangan di dalam kes itu dan menyampaikannya kepada pihak merayu atau wakilnya dengan meninggalkan salinan itu di alamat yang disebutkan di dalam notis rayuan atau menghantarkannya dengan pos berdaftar ke alamat pihak merayu yang diberi.

(4) Dalam tempoh sepuluh hari selepas alasan keputusan telah disampaikan seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen terdahulu, pihak merayu hendaklah menyerahsimpan kepada Pendaftar Mahkamah Syariah di mana perbicaraan itu diadakan satu petisyen rayuan dalam lima salinan dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

(5) Jika pihak merayu di dalam tempoh yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) membuat notis rayuan memohon satu salinan nota-nota keterangan yang dicatatkan oleh Hakim semasa perbicaraannya dia hendaklah menyerahsimpan petisyen rayuan seperti yang diperuntukkan di dalam subseksyen (4)-

mengikut mana-mana tempoh yang lebih lewat.

(6) Tiap-tiap petisyen rayuan hendaklah menyatakan dengan ringkas isi keputusan yang dirayu dan hendaklah mengandungi butir-butir yang jelas mengenai undang-undang atau fakta mengenainya rayuan terhadap hukuman Mahkamah yang mana dikatakan telah silap.

(7) (a) Jika pihak merayu berada di dalam penjara ia hendaklah dianggap telah memenuhi keperluan seksyen ini jika dia memberi kepada Pegawai Penguasa Penjara notis rayuan sama ada secara lisan atau tulisan dan butir-butir yang perlu dimasukkan di dalam petisyen rayuan di dalam tempoh yang ditetapkan oleh seksyen ini.

(b) Pegawai Penjara berkenaan hendaklah serta-merta mengemukakan notis dan petisyen berkenaan atau maksudnya kepada Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di mana perbicaraan diadakan.

(8) Jika sesuatu petisyen rayuan tidak dibuat di dalam tempoh yang ditetapkan oleh seksyen ini, rayuan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik dan Mahkamah yang menjalankan perbicaraan hendaklah menguatkuasakan hukuman atau perintahnya jika penangguhan perlaksanaan mana-mana hukuman atau perintah telah dibenarkan, tetapi tiada apa-apa yang terkandung di dalam seksyen ini boleh menghadkan atau menyekat kuasa yang diberikan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Syariah oleh seksyen 139.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.