ENAKMEN 10 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1993

BAHAGIAN IV - PROSIDING PENDAKWAAN
BAB XV - PEMBEBASAN ATAU SABITAN YANG DAHULU



Seksyen 130. Seorang yang telah disabitkan atau dibebaskan tidak boleh dibicarakan lagi bagi kesalahan yang sama.

(1) Seseorang yang telah dibicarakan oleh Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa bagi satu kesalahan dan telah disabitkan atau dibebaskan dari kesalahan berkenaan hendaklah, selama sabitan atau pembebasan berkenaan berkuatkuasa, tidak boleh dibicarakan lagi bagi kesalahan yang sama atas fakta yang sama atau untuk apa jua kesalahan lain di mana tuduhan yang lain boleh dibuat terhadapnya di bawah seksyen 89 atau yang mana ia boleh disabitkan di bawah seksyen 90.

(2) Seseorang yang telah dibebaskan atau disabitkan dari mana-mana kesalahan boleh kemudiannya dibicarakan untuk mana-mana kesalahan berlainan yang mana satu pertuduhan berasingan boleh dibuat terhadapnya di dalam perbicaraan dahulu di bawah subseksyen (1) seksyen 88.

(3) Seseorang yang telah disabitkan dengan mana-mana kesalahan yang dilakukan dengan mana-mana perbuatan yang mana akibatnya bersama dengan perbuatan itu merupakan satu kesalahan berlainan daripada apa yang ia telah disabitkan, boleh kemudiannya dibicarakan untuk kesalahan yang akhir sekali disebut jika akibat perbuatan itu belum berlaku atau tidak diketahui oleh Mahkamah telah berlaku pada masa ia disabitkan.

(4) Seseorang yang dibebaskan atau disabitkan dari mana-mana kesalahan yang dilakukan dengan apa-apa perbuatan boleh, sungguhpun terdapat pembebasan atas sabitan itu, kemudiannya dipertuduhkan atau dibicarakan untuk mana-mana kesalahan lain yang dilakukan dengan perbuatan yang sama jika Mahkamah yang dia pertama kalinya dibicarakan tidak kompeten untuk membicarakan kesalahan-kesalahan yang dia kemudiannya dipertuduhkan.

(5) Penolakan sesuatu aduan, atau pelepasan seorang yang dituduh, bukanlah satu pembebasan bagi maksud seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.