ENAKMEN 10 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1993

BAHAGIAN II - PERUNTUKAN-PERUNTUKAN AM MENGENAI MAHKAMAH JENAYAH
BAB III - MENANGKAP, MELARIKAN DIRI DAN MENANGKAP SEMULA



Seksyen 21. Bagaimana tindakan terhadap orang yang telah ditangkap dan tahanan yang lebih dua puluh empat jam.

(1) Seorang Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis yang menangkap orang tanpa waran di bawah Enakmen ini hendaklah, dengan tidak berlengah-lengah lagi dan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Enakmen ini mengenai jaminan atau kelepasan yang terdahulu, membawa atau menghantarkan orang yang ditangkap itu ke Mahkamah Rendah Syariah.

(2) Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis tidak boleh menahan seseorang yang ditangkap tanpa waran lebih daripada masa yang patut dengan menimbangkan semua keadaan yang munasabah terhadap kes itu.

(3) Masa yang patut itu hendaklah tidak melebihi dua puluh empat jam tanpa dikira masa yang perlu untuk perjalanan dari tempat penangkapan ke Mahkamah Rendah Syariah.

(4) Apabila seseorang yang ditangkap itu dikemukakan di hadapan Mahkamah, maka Mahkamah boleh terus mendengar pertuduhan terhadap orang itu atau menangguhkan kes itu.

(5) Jika pertuduhan terhadap itu ditangguhkan, maka orang itu hendaklah, kecuali ia dibebaskan dengan jaminan, ditahan dalam penjara atau jagaan Polis dengan suatu waran tahanan yang dikeluarkan oleh seorang Hakim dalam Borang I dalam Jadual.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.