ORDINAN 8 TAHUN 1991
ORDINAN KANUN ACARA JENAYAH SYARIAH 1991

BAHAGIAN IV - PROSIDING PENDAKWAAN
BAB XIV
Darihal Hukuman dan Menjalankannya



Seksyen 129. Pesalah kali pertama.

(1) Apabila mana-mana orang mukallaf telah disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara di hadapan mana-mana Mahkamah, jika ternyata kepada Mahkamah tersebut bahawa dengan mengambil perhatian kepada watak, latar belakangnya, umur, kesihatan atau keadaan akal pesalah itu, atau kepada bentuk kesalahan itu yang tidak berat, atau kepada apa-apa keadaan itu yang boleh meringankan kesalahan yang dilakukan itu adalah patut bahawa pesalah itu dilepaskan dengan syarat dia berkelakuan baik. Mahkamah bolehlah, selain daripada menghukumnya dengan serta-merta dengan apa-apa hukuman lain, mengarahkan supaya pesalah itu dilepaskan dengan mengenakan bon dengan penjamin-penjamin, dan dalam tempoh tersebut sebagaimana yang diarahkan oleh Mahkamah, supaya hadir dan menerima hukuman jika dan apabila dipanggil, dan sementara itu, hendaklah dia berkelakuan baik.

(2) Jika Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk membicarakan pesalah itu berhubung dengan kesalahan asalnya atau mana-mana Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa terus berpuas hati bahawa pesalah itu telah gagal untuk mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia bolehlah mengeluarkan satu waran bagi menangkapnya.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.