ENAKMEN 12 TAHUN 2003
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003
BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 3 - PEMERIKSAAN SAKSI
Seksyen 101. Mahkamah akan memutuskan bila soalan hendak ditanya dan bila saksi boleh dipaksa menjawab
(1) Jika apa-apa soalan adalah berhubungan dengan sesuatu perkara yang tidak relevan dengan guaman atau prosiding itu, kecuali setakat yang soalan itu menyentuh kebolehpercayaan saksi itu dengan mencela wataknya, maka Mahkamah hendaklah memutuskan sama ada saksi itu boleh dipaksa menjawab soalan itu atau tidak, dan Mahkamah boleh, jika difikirkannya bahawa saksi itu tidak patut dipaksa menjawab soalan itu, mengingatkan saksi itu bahawa dia tidak terpaksa menjawabnya.
(2) Pada menjalankan budi bicaranya, Mahkamah hendaklah mengambil perhatian akan perkara yang berikut:
(a)
soalan itu wajar jika ia sedemikian rupa sehingga kebenaran tohmahan yang dibayangkan olehnya itu akan menyentuh dengan serius pendapat Mahkamah tentang kebolehpercayaan saksi itu atas perkara yang dinyatakan;
(b)
soalan itu tidak wajar jika tohmahan yang dibayangkan olehnya itu berhubung dengan perkara-perkara yang telah berlaku sebegitu lama dahulu atau yang bersifat sedemikian sehingga kebenaran tohmahan itu tidak akan menyentuh atau akan menyentuh sedikit sahaja pendapat Mahkamah tentang kebolehpercayaan saksi itu atas perkara yang dinyatakan;
(c)
soalan itu tidak wajar jika terdapat ketidakseimbangan besar antara kepentingan tohmahan yang dibuat terhadap watak saksi itu dengan kepentingan keterangannya;
(d)
Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, mengambil kesimpulan daripada keengganan saksi itu untuk menjawab bahawa jawapan itu, jika diberikan, tidak akan memberikan faedah kepadanya.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.