ENAKMEN 7 TAHUN 1999
ENAKMEN WAKAF (NEGERI SELANGOR) 1999

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

(1) Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"Enakmen Pentadbiran" ertinya Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 [En.2/89];

"Baitulmal" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya di bawah subseksyen 94 (1) Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 [En.3/52];

"harta" termasuklah harta alih atau harta tak alih dan apa-apa faedah dalam apa-apa harta alih atau harta tak alih, apa-apa hak, kepentingan, hak milik, tuntutan, hak dalam tindakan, sama ada pada masa sekarang atau pada masa hadapan atau selainnya yang mempunyai nilai menurut Hukum Syarak;

"Hukum Syarak" ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali;

"istibdal" ertinya menggantikan suatu harta wakaf dengan harta lain atau wang yang sama atau lebih tinggi nilainya sama ada melalui gantian, belian, jualan atau apa-apa cara lain menurut Hukum Syarak;

"Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak" ertinya Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak yang ditubuhkan di bawah subseksyen 34(1) Enakmen Pentadbiran;

"Kumpulan Wang Wakaf" ertinya kumpulan wang yang terdiri daripada semua wang dan harta yang diwakafkan atau apa-apa hasil yang diperolehi daripada mawquf atau melalui istibdal;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Tinggi Syariah yang ditubuhkan di bawah seksyen 37 Enakmen Pentadbiran;

"Majlis" mempunyai erti yang sama yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

"marad al-maut" ertinya penyakit membawa maut yang memenuhi syarat-syarat yang berikut-
"mawquf" ertinya harta wakaf;

"mawquf-alaih" ertinya orang yang berhak menerima apa-apa manfaat atau faedah daripada mawquf itu;

"orang" termasuklah kumpulan orang sama ada diperbadankan atau tidak diperbadankan;

"rasyid" ertinya seseorang yang tidak dungu, tidak nyanyuk, dan tidak diisytiharkan bankrup di bawah mana-mana undang-undang bertulis;

"saham wakaf" ertinya pewujudan suatu wakaf melalui saham-saham yang ditawarkan dan kemudiannya diwakafkan oleh pembeli kepada Majlis;

"sighah" ertinya pernyataan wakaf yang dibuat sama ada secara lisan, tulisan bersama lafaz atau isyarat;

"wakaf" ertinya menyerahkan apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk apa-apa tujuan kebajikan sama ada sebagai wakaf am atau wakaf khas menurut Hukum Syarak tetapi tidak termasuk amanah sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208];

"wakaf am" ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan kebajikan umum menurut Hukum Syarak;

"wakaf khas" ertinya sesuatu wakaf yang diwujudkan bagi tujuan kebajikan yang khusus menurut Hukum Syarak;

"waqif" ertinya orang yang mewujudkan wakaf.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan di dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan di dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388], hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing setakat yang erti itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau pentafsiran perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.