ENAKMEN 1 TAHUN 1991
ENAKMEN PENTADBIRAN HUKUM SYARA' NEGERI SEMBILAN 1991

BAHAGIAN IV - PENDAKWAAN DAN PERWAKILAN



Seksyen 54. Peguam Syarie.

(1) Majlis boleh membenarkan mana-mana pegawai undang-undang Kerajaan Persekutuan dan mana-mana pegawai undang-undang yang memegang sijil yang sah dikeluarkan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 [Akta 166], atau mana-mana orang yang berkelayakan menjadi Peguam Syarie untuk hadir dan mewakili mana-mana pihak dalam mana-mana Mahkamah Syariah.

(2) Kelayakan untuk menjadi pengamal Peguam Syarie hendaklah ditetapkan oleh peraturan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Besar.

(3) Peraturan tersebut boleh memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang yang layak menjadi Peguam Syarie hendaklah memegang sijil yang dikeluarkan oleh Majlis dan ditandatangani oleh Pengerusi setelah dibayar fee yang ditetapkan. Sijil tersebut hendaklah dipanggil "Sijil Peguam Syarie".

(4) Sijil Peguam Syarie yang dikeluarkan di bawah subseksyen (3) hendaklah kekal sah bagi tempoh satu tahun daripada tarikh pengeluarannya:

Dengan syarat Majlis boleh bila-bila masa membatalkannya.

(5) Majlis dalam keadaan-keadaan tertentu boleh mengecualikan mana-mana orang yang memegang kelayakan Ijazah Undang-undang daripada mana-mana universiti atau pusat pengajian tinggi yang diiktirafkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk menjadi Peguam Syarie walaupun orang itu tidak memegang Sijil Peguam Syarie yang dikeluarkan di bawah subseksyen (3).





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.