ENAKMEN 13 TAHUN 1993
ENAKMEN KETERANGAN SYARIAH 1993

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 8 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 90. Mahkamah akan menentukan kebolehterimaan keterangan.

(1) Apabila mana-mana pihak bercadang hendak memberi keterangan mengenai sesuatu fakta, Mahkamah bolehlah bertanya kepada pihak yang bercadang hendak memberi keterangan itu bagaimanakah fakta yang dikatakan itu, jika dibuktikan, akan menjadi relevan; dan Mahkamah hendaklah menerima keterangan itu jika difikirkannya bahawa fakta itu, jika dibuktikan, akan menjadi relevan dan tidak selainnya.

(2) Jika fakta yang dicadang hendak dibuktikan itu adalah satu fakta yang keterangan mengenainya boleh diterima hanya setelah sesuatu fakta lain dibuktikan, maka fakta yang kemudian tersebut itu mestilah dibuktikan sebelum keterangan diberi mengenai fakta yang mula-mula tersebut itu, melainkan jika pihak itu sanggup membuktikan fakta itu dan Mahkamah puashati dengan kesanggupan itu.

(3) Jika kerelevanan satu fakta yang dikatakan bergantung kepada terbuktinya terlebih dahulu suatu fakta lain yang dikatakannya, maka Mahkamah boleh, menurut budibicaranya, sama ada membenarkan keterangan mengenai fakta yang pertama itu diberi sebelum fakta yang kedua itu dibuktikan, ataupun menghendaki supaya keterangan diberi mengenai fakta yang kedua itu sebelum keterangan diberi mengenai fakta yang pertama itu.


MISALAN

(a)
Adalah dicadangkan untuk membuktikan suatu pernyataan berkenaan dengan suatu fakta relevan yang telah dibuat oleh seseorang yang dikatakan telah mati, iaitu suatu pernyataan yang relevan menurut seksyen 20.

Fakta bahawa orang itu telah mati mestilah dibuktikan oleh orang yang bercadang hendak membuktikan pernyataan itu sebelum keterangan diberi mengenai pernyataan itu.

(b)
Adalah dicadangkan untuk membuktikan kandungan suatu dokumen yang dikatakan telah hilang dengan mengemukakan suatu salinannya.

Fakta bahawa naskhah asalnya telah hilang mestilah dibuktikan oleh orang yang bercadang hendak mengemukakan salinan itu sebelum salinan itu dikemukakan.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.