ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN XI - ACARA DALAM PEMBICARAAN MAL



Seksyen 228. Ulangbicara.


(1) Mana-mana pihak dalam pembicaraan kes mal di Mahkamah Kadi Besar atau Kadi boleh merayu terhadap hukuman atau perintah Mahkamah itu kepada Mahkamah Ulangbicara.

(2) Ulangbicara itu hendaklah dibuat dengan cara memasuki notis ulangbicara di Mahkamah yang memberi atau membuat hukuman atau perintah yang hendak dirayu itu dan dialamatkan kepada Mahkamah itu dengan mambayar bayaran yang telah ditentukan. Mahkamah itu hendaklah menyerahkan satu salinan notis itu dengan seberapa segera yang boleh kepada tiap-tiap pihak yang menentang.

(3) Notis ulangbicara tidak boleh dimasukkan selepas habis tempoh empat belas hari dari tarikh hukuman atau dari perintah yang hendak dirayu itu diberi atau dibuat:

Dengan syarat bahawa atas permohonan dibuat kepada Mahkamah Ulangbicara maka Mahkamah itu boleh, jika ianya memikirkan bahawa adalah adil dari segi keadaan kes itu, memberi izin untuk merayu dalam tempoh masa yang dilanjutkan itu selepas habis tempoh empat belas hari itu.

(4) Apabila menerima notis ulangbicara itu maka pegawai Mahkamah yang membicarakan kes itu hendaklah menyediakan alasan-alasan hukuman yang ditandatanganinya, dan hendaklah memberi kepada pihak yang merayu, dengan bayaran yang tertentu, satu salinan alasan-alasan hukuman, satu salinan nota pembicaraan dengan satu salinan bagi tiap-tiap dokumen yang telah dikemukakan dalam pembicaraan itu untuk membolehkan pihak merayu menyediakan rekod ulangbicara.

(5) Apabila semua dokumen-dokumen yang dinyatakan dalam seksyen-kecil (4) telah diterima dari Mahkamah itu, maka pihak merayu hendaklah menyerahkan kepada Mahkamah itu beberapa salinan yang cukup rekod ulangbicara dalam tempoh dua puluh satu hari selepas menerima dokumen-dokumen itu. Satu salinan rekod ulangbicara itu hendaklah diserahkan kepada tiap-tiap pihak yang menentang.

(6) Tiap-tiap salinan rekod ulangbicara itu hendaklah mengandungi satu surat rayuan menyatakan alasan-alasan tentangan daripada pihak merayu terhadap hukuman atau perintah yang dirayu, satu salinan surat tuntutan, satu salinan pembelaan bertulis, salinan-salinan perintah sementara, satu salinan nota pembicaraan dari Mahkamah, salinan-salinan semua barang-barang kes yang berupa dokumen dan keterangan-keterangan yang lain yang bertulis, satu salinan hukuman atau perintah, satu salinan alasan-alasan hukuman, satu salinan notis ulangbicara dan satu faharasat (index).

(7) Pihak yang menentang sesuatu rayuan itu boleh memberi notis kepada Mahkamah dan pihak-pihak yang lain itu yang ia bercadang melawan bahawa hukuman atau perintah yang dirayukan itu hendaklah diubah,dan notis itu hendaklah berjalan kuatkuasanya sebagai rayuan balas (cross-appeal).

(8) Mahkamah itu boleh dengan budibicaranya membenarkan bagi perlaksanaan kepada mana-mana hukuman atau perintah ditangguhkan sementara menunggu selesainya ulangbicara.

(9) Apabila menerima rekod-rekod ulangbicara itu dan notis rayuan balas seperti yang dinyatakan dalam seksyen-kecil (6) dan seksyen-kecil (7) masing-masing, maka Mahkamah itu hendaklah menghantarkannya kepada Mahkamah Ulangbicara.

(10) Mahkamah Ulangbicara pun hendaklah dengan itu menetapkan tarikh untuk mendengar rayuan itu dan hendaklah memberitahu pihak-pihak yang terlibat akan tarikh dan tempat di mana ulangbicara itu akan didengar.

(11) Pada ketika Ulangbicara itu hendak didengar, Mahkamah Ulangbicara itu hendaklah mendengar pihak merayu, dan jika ianya memikirkan mustahak, pihak yang menentang rayuan itu dan kemudiannya bolehlah membuat perintahnya mengikut seksyen 46 sebagaimana ianya memikirkan sesuai.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.