ENAKMEN 10 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1993

BAHAGIAN V - RAYUAN DAN MURAJA'AH
BAB XVII - RAYUAN KE MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH



Seksyen 148. Bidangkuasa Mahkamah Rayuan Syariah.

(1) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa mendengar dan memutuskan sesuatu rayuan oleh mana-mana orang yang telah disabitkan atau didapati bersalah atau oleh Pendakwa Syarie terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah di dalam menjalankan bidangkuasa jenayah asalnya tertakluk kepada Enakmen ini atau apa-apa undang-undang bertulis yang lain yang memperuntukkan terma dan syarat rayuan jenayah boleh dibuat.

(2) Apabila orang yang dituduh telah mengaku bersalah dan disabitkan atas pengakuannya itu, maka tidak ada rayuan boleh dibuat kecuali terhadap kadar atau sahnya hukuman itu.

(3) Suatu rayuan boleh dibuat atas apa-apa persoalan fakta atau undang-undang atau atas kedua-duanya.

(4) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah juga mempunyai bidangkuasa mendengar dan memutuskan perkara yang dikemukakan mengikut seksyen 162 atau 163.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.