ENAKMEN 12 TAHUN 2003
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 2 - SAKSI



Seksyen 83. Siapa yang boleh memberikan keterangan sebagai saksi

(1) Tertakluk kepada peruntukan seksyen ini, semua orang Islam adalah berwibawa untuk memberikan syahadah atau bayyinah sebagai saksi dengan syarat bahawa mereka adalah ‘aqil, baligh, ‘adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak berprasangka.

(2) Seorang yang bukan Islam adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

HuraianBayyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seorang Islam boleh diterima, jika dikehendaki.

(3) Seseorang yang tidak ‘adil adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa untuk memberikan syahadah.

(4) Seseorang yang belum baligh atau seseorang yang tidak sempurna akal adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa memberikan syahadah.

HuraianBayyinah seorang orang belum dewasa dalam hal kecederaan yang dilakukan oleh beberapa orang-orang belum dewasa ke atas yang lain boleh diterima dengan syarat bahawa antara mereka tiada perselisihan faham dan mereka berada di tempat kejadian itu.

(5) Seseorang yang mempunyai ingatan yang lemah atau yang pelupa atau mengidap hilang ingatan adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa untuk memberikan syahadah.

(6) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan baiknya dengan dan mempunyai kepentingan dengan pihak menentang adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa untuk memberikan syahadah.

(7) Seseorang yang kebolehpercayaannya diragui kerana hubungan buruknya dengan pihak menentang adalah berwibawa untuk memberikan bayyinah tetapi tidak berwibawa untuk memberikan syahadah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.