ENAKMEN 4 TAHUN 1997
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 1997
BAHAGIAN V - KESALAHAN PELBAGAI
Seksyen 31. Takfir.
(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), mana-mana orang yang mengatakan atau menohmahkan dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis, atau dengan isyarat atau gambaran tampak, atau dengan apa-apa perbuatan, aktiviti atau pelakuan, atau dengan menganjurkan, menaja atau membuat perkiraan bagi apa-apa aktiviti atau selainnya dengan apa-apa cara, bahawa mana-mana orang yang menganut agama Islam atau orang yang tergolong dalam apa-apa kumpulan, golongan atau perihalan orang yang menganut agama Islam-
(a)
adalah kafir;
(b)
tidak lagi menganut agama Islam;
(c)
tidak sepatutnya diterima, atau tidak boleh diterima, sebagai menganuti agama Islam; atau
(d)
tidak mempercayai, mengikuti, menganuti, atau tergolong dalam, agama Islam,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
(2) Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi-
(a)
apa-apa jua yang dilakukan oleh mana-mana Mahkamah atau pihak berkuasa agama yang ditubuhkan, dibentuk atau dilantik oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan yang diberikan kuasa untuk membuat atau mengeluarkan apa-apa keputusan mengenai apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam; dan
(b)
apa-apa jua yang dilakukan oleh mana-mana orang menurut atau mengikut apa-apa keputusan yang dibuat atau dikeluarkan oleh Mahkamah atau pihak berkuasa sedemikian, sama ada atau tidak keputusan itu adalah secara bertulis atau, jika bertulis, sama ada atau tidak ia disiarkan dalam
Warta
.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.