ENAKMEN 5 TAHUN 1990
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1990

BAHAGIAN VI - NAFKAH ISTERI, ANAK DAN LAIN-LAIN



Seksyen 81. Nafkah isteri dan kehadiran di Mahkamah.

(1) Seorang isteri boleh dengan permintaannya di dalam Mahkamah mendapat satu perintah terhadap suaminya kerana bayaran dari masa ke semasa sebanyak mana wang berkenaan dengan nafkah yang ia boleh berhak menerimanya mengikut Hukum Syarak dengan syarat bayaran tuntutan nafkah isteri itu hendaklah dibayar bagi satu tempoh tidak lebih daripada tiga tahun masihi dikira terdahulu dari tarikh ianya menuntut nafkah itu.

(2) Seseorang yang telah diceraikan oleh suaminya boleh dengan permintaannya di Mahkamah mendapat perintah terhadap bekas suaminya kerana bayaran di dalam iddahnya, jika cerai itu dengan talaq satu atau dua ataupun di dalam tempoh ianya mengandung dengan bekas suaminya sebanyak mana nafkah yang ia boleh berhak menerimanya dan lain-lain perbelanjaan yang munasabah mengikut Hukum Syarak dengan syarat bayaran tuntutan nafkah iddah itu hendaklah dibayar bagi satu tempoh tidak lebih daripada satu tahun masihi dikira terdahulu dari tarikh ianya menuntut nafkah itu.

(3) Seorang perempuan yang telah bercerai daripada suami atau seorang lelaki yang telah bercerai daripada isterinya boleh dengan permintaannya di Mahkamah mendapat perintah terhadap bekas isterinya atau bekas suaminya mengenai pembahagian harta sepencarian.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.