ENAKMEN 2 TAHUN 1991
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1991

BAHAGIAN II - MENGENAI BUKTI
BAB 5 - KETERANGAN SURATAN



Seksyen 49. Keterangan asal.

Keterangan asal ertinya suratan asal yang dikemukakan untuk pemeriksaan Mahkamah.

Huraian 1-Jika sesuatu suratan disempurnakan dengan beberapa naskah, maka tiap-tiap satu naskah itu adalah keterangan asal bagi suratan itu.

Jika sesuatu suratan disempurnakan dengan naskah bertimbal dan tiap-tiap satu naskah bertimbal itu disempurnakan oleh satu atau setengah pihak sahaja, maka tiap-tiap satu naskah bertimbal itu adalah keterangan asal terhadap pihak yang menyempurnakan itu.

Huraian 2-Jika beberapa suratan adalah semuanya dibuat dengan satu proses yang seragam seperti dalam hal cetakan, litograf atau gambarfoto tiap-tiap satunya adalah keterangan asal mengenai kandungan yang lainnya itu, akan tetapi jika suratan itu adalah semuanya salinan daripada satu naskhah asal maka suratan itu tidaklah menjadi keterangan asal mengenai kandungan naskhah asal.

MISALAN

Seseorang adalah dibuktikan sebagai telah ada di dalam miliknya beberapa pelekat, kesemuanya dicetak pada satu masa daripada satu naskhah asal. Mana-mana satu daripada pelekat itu adalah keterangan asal mengenai kandungan mana-mana satu yang lain itu, akan tetapi tiadalah satu pun daripadanya menjadi keterangan asal mengenai kandungan naskhah asal itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.