ENAKMEN 7 TAHUN 1993
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM NEGERI PULAU PINANG

BAHAGIAN IX - PERKARA-PERKARA KEWANGAN



Seksyen 96. Modal wakaf dan nazar am.

(1) Tertakluk kepada peruntukan subseksyen (2) dan (3) harta dan aset modal yang tersentuh oleh mana-mana wakaf atau nazar am yang sah tidak boleh menjadi sebahagian daripada Baitulmal, tetapi hendaklah digunakan menurut wakaf atau nazar am itu dan dipegang sebagai kumpulan-kumpulan wang yang berasingan.

(2) Jika, oleh sebab lampau masa atau perubahan hal keadaan, maka tidak mungkin lagi dan dijalankan secara berfaedah peruntukan-peruntukan tepat bagi mana-mana wakaf atau nazar am, Majlis hendaklah menyediakan suatu skim bagi menggunakan harta dan aset yang tersentuh olehnya dengan cara yang sehampir mungkin sama dengan yang dikehendaki oleh terma-terma wakaf atau nazar am itu, dan hendaklah menggunakannya dengan sewajarnya:

Dengan syarat bahawa Majlis boleh mengarahkan supaya harta dan aset itu ditambahkan kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(3) Jika terma-terma mana-mana wakaf atau nazar am itu tidak menyatakan cara penggunaan harta dan aset modal yang tersentuh olehnya, atau ada ketentuan tentang cara bagaimana ia hendak digunakannya, Majlis boleh mengarahkan supaya cara penggunaan harta dan aset modal itu ditambah kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(4) Segala suratcara yang mewujudkan, yang menjadi keterangan atau yang menyentuh mana-mana wakaf atau nazar am berserta dengan mana-mana dokumen hakmilik atau cagaran lain yang berhubungan dengannya, hendaklah dipegang dan disimpan oleh Majlis.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.