ENAKMEN 12 TAHUN 1986
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986

BAHAGIAN III - MAHKAMAH SYAR'IAH
Prosedur dalam Prosiding Mal



Seksyen 131. Pelaksanaan.

(1) Jika sesiapa yang terikat kepada mana-mana hukuman atau perintah Mahkamah mungkir mematuhinya dalam masa yang pada pertimbangan Mahkamah berpatutan, Mahkamah boleh, atas permohonan sesiapa yang berhak mendapat faedah di bawah hukuman atau perintah itu, atau dengan kehendak Mahkamah sendiri, menghantar satu salinan yang sah hukuman atau perintah itu kepada mana-mana Mahkamah Majistret yang berkuasa di tempat itu, bersama dengan satu permintaan dialamatkan kepada Majistret itu supaya hukuman atau perintah itu dilaksanakan, dan Mahkamah Majistret itu hendaklah melaksanakan hukuman atau perintah itu dan menggunakan apa-apa kuasa sampingan berhubung dengan hukuman atau perintah itu, termasuklah kuasa menangkap dan mempenjarakan dan mengeluarkan saman si berhutang hukuman, dengan cara yang sama seolah-olah hukuman atau perintah itu diberi atau dibuat olehnya sendiri.

(2) Walau apa pun penuntukan subseksyen (1), Mahkamah Tinggi Syar'iah hendaklah mempunyai segala kuasa dan hak mengenai pelaksanaan hukuman dan perintahnya sendiri sepertimana yang diberi dan dipertanggungkan ke atas mahkamah-mahkamah rendah di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 [P.U. (A) 328/80.] atau mana-mana kaedah lain yang sama yang dari semasa ke semasa berkuatkuasa, kecuali dia tidaklah boleh mengeluarkan pelaksanaan bersabit dengan harta takalih.

(3) Qadi Besar hendaklah mempunyai kuasa melantik mana-mana pegawai rendah Mahkamahnya untuk menjadi bailif bagi Mahkamah itu.

(4) Mahkamah Rendah Syar'iah boleh, sebagai ganti mengambil perjalanan di bawah subseksyen (1), dalam keadaan dan dengan cara yang serupa meminta Mahkamah Tinggi Syar'iah melaksanakan hukuman atau perintah Mahkamah Rendah Syar'iah dan dengan itu Mahkamah Tinggi Syar'iah bolehlah melaksanakan hukuman atau perintah itu dan boleh menggunakan segala kuasa berhubung dengannya seperti yang diberi oleh subseksyen (1) kepada Mahkamah Majistret.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.