ENAKMEN 12 TAHUN 1986
ENAKMEN PENTADBIRAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM 1986

BAHAGIAN VII - KESALAHAN-KESALAHAN



Seksyen 199. Pengajaran agama.

(1) Kecuali kepada keluarga rumahnya sahaja dan di dalam tempat kediamannya sendiri, tiada seseorang boleh mengajar atau menghurai atau menerangkan, atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh diertikan sebagai mengajar, menghurai, atau menerangkan, sesuatu perkara yang berkaitan dengan Agama Islam, tanpa kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya.

(2) Kecuali dibenarkan oleh mana-mana undang-undang bertulis, tidaklah boleh mana-mana orang atau kumpulan orang mendirikan sekolah agama Islam atau menggunakan mana-mana bangunan yang sedia ada sebagai atau bagi maksud menjadikan sebuah sekolah agama Islam tanpa kebenaran bertulis daripada Pesuruhjaya.

(3) Melainkan dengan kelulusan Majlis, sesiapa yang telah disabitkan oleh Jawatankuasa Fatwa mengajar ilmu salah tidaklah boleh mengajar atau menghurai atau menerangkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan Agama Islam walaupun di dalam tempat kediamannya sendiri.

(4) Barang siapa melanggar subseksyen (1), (2), atau (3) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi seribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

(5) Mahkamah boleh, tertakluk kepada apa-apa hak mana-mana pihak ketiga, memerintahkan orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen (2) supaya merobohkan bangunan yang berkenaan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.