ORDINAN 45 TAHUN 2001
ORDINAN TATACARA JENAYAH SYARIAH, 2001

BAHAGIAN VII - PERUNTUKAN TAMBAHAN
BAB 6 - DARIHAL PELUPUSAN BARANG KES DAN HARTA YANG MENJADI PERKARA KESALAHAN



Seksyen 201. Mahkamah hendaklah menimbangkan cara melupuskan barang kes.

(1) Apabila berakhir mana-mana prosiding di bawah Ordinan ini, Mahkamah hendaklah menimbangkan cara bagaimana barang kes hendak dilupuskan dan boleh membuat apa-apa perintah bagi maksud itu.

(2) Jika Mahkamah tidak membuat perintah tentang pelupusan barang kes, barang kes itu hendaklah diserahkan kepada Pendakwa yang bertanggungjawab bagi prosiding itu dan boleh diperlakukan oleh Pendakwa itu mengikut Bab ini seolah-olah Mahkamah itu telah membuat perintah atau perintah-perintah yang bermaksud sedemikian.

(3) Jika Pendakwa pada bila-bila masa ragu-ragu tentang cara yang patut bagi melupuskan mana-mana barang kes, atau jika mana-mana orang menuntut supaya diserahkan kepadanya mana-mana barang kes dan Pendakwa enggan membuat penyerahan sedemikian, maka Pendakwa atau orang itu boleh memohon kepada Mahkamah yang memutuskan kes itu dan Mahkamah itu hendaklah membuat apa-apa perintah berkenaan dengan pelupusan barang kes itu sebagaimana yang patut.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.