ENAKMEN 7 TAHUN 1991
ENAKMEN KANUN PROSEDUR MAL SYARIAH SELANGOR 1991
BAHAGIAN XXXII - KEPAPAAN
Seksyen 232. Permohonan menuntut atau membela sebagai seorang papa.
(1) Mana-mana orang yang ingin memulakan atau membela mana-mana tindakan atau lain-lain perbicaraan sendiri dan tidak upaya membayar perbelanjaan perbicaraan boleh memohon kepada Mahkamah untuk mendapat izin mendakwa atau membela sebagai seorang papa.
(2) Permohonan itu hendaklah melalui afidavit dalam borang yang ditetapkan dan pemohon (selepas ini dipanggil seorang papa) hendaklah menyatakan di dalamnya-
(a)
nama, tempat tinggal dan pekerjaannya;
(b)
bahawa ia tidak berupaya membayar perbelanjaan prosiding;
(c)
semua fakta material kes itu.
(3) Afidavit itu hendaklah disediakan oleh pemohon atau oleh seorang pegawai Mahkamah yang berkaitan dan hendaklah diperakukan oleh pemohon itu di hadapan Hakim atau Pendaftar.
(4) Apabila Mahkamah telah berpuas hati-
(a)
bahawa pemohon tidak berupaya membayar perbelanjaan prosiding; dan
(b)
bahawa pemohon mempunyai alasan tindakan atau pembelaan yang baik mengikut mana yang berkenaan,
Mahkamah hendaklah membuat satu perintah membenarkan pemohon itu menuntut atau membela mengikut mana yang berkenaan sebagai seorang papa. Setelah perintah tersebut dibuat saman atau lain-lain proses dalam tindakan itu atau lain-lain prosiding dan catatan berkaitan dalam buku daftar hendaklah ditanda "seorang papa".
(5) Jika Mahkamah tidak berpuas hati ia hendaklah menolak permohonan itu.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.