ENAKMEN 10 TAHUN 1993
ENAKMEN PROSEDUR JENAYAH SYARIAH 1993
BAHAGIAN IV - PROSIDING PENDAKWAAN
BAB X - PERBICARAAN
Seksyen 94. Prosedur dalam perbicaraan.
Prosedur seperti berikut hendaklah diikuti oleh Hakim dalam perbicaraan -
(a) apabila orang yang dituduh menghadirkan diri atau dibawa ke hadapan Mahkamah, maka pertuduhan yang mengandungi butir-butir kesalahan yang dia dituduh itu hendaklah dirangka, dibaca serta diterangkan kepadanya, dan dia hendaklah ditanya sama ada mengaku salah atas pertuduhan itu atau minta dibicarakan;
(b) Jika tertuduh itu mengaku salah atas pertuduhan itu sama ada pertuduhan asal atau yang dipinda, maka pengakuan itu hendaklah direkodkan dan dengan itu dia boleh disabitkan atas kesalahan tersebut:
Dengan syarat bahawa sebelum direkodkan pengakuan salah itu Mahkamah hendaklah menentukan orang yang dituduh itu faham akan maksud dan akibat daripada pengakuannya itu dan dia mengaku, tanpa bersyarat, terhadap kesalahan yang dipertuduhkan, dan dia membuat pengakuan salah itu sekurang-kurangnya tiga kali di hadapan Hakim dan tidak menarik balik pengakuan itu:
Dengan syarat lagi bahawa di dalam kes zina pengakuannya itu hendaklah dibuat sekurang-kurangnya empat kali;
(c) jika tertuduh itu enggan mengaku salah atau tidak mengaku salah atau meminta dibicarakan, Mahkamah hendaklah terus mendengar keterangan pengadu (jika ada) dan mengambil semua keterangan yang dikemukakan bagi menyokong pendakwaan itu;
(d) jika Mahkamah fikirkan perlu, ia hendaklah mengambil daripada pengadu atau orang lain nama-nama orang yang mungkin mengetahui tentang kenyataan kes itu dan yang mungkin boleh memberi keterangan bagi pihak pendakwaan, dan hendaklah memanggil mereka itu untuk memberi keterangan di Mahkamah sebagaimana yang difikirkan perlu oleh Mahkamah;
(e) tertuduh itu atau Peguam Syarienya hendaklah dibenarkan menyoal balas semua saksi bagi pihak pendakwa melalui Hakim;
(f) jika, selepas daripada mengambil semua keterangan tersebut, Mahkamah berpendapat bahawa tidak ada kes terhadap tertuduh itu, yang boleh menyebabkan sabitannya, Mahkamah hendaklah mencatatkan perintah pembebasan;
(g) tiada apa-apa dalam perenggan
(f)
boleh disifatkan menghalang Mahkamah daripada melepaskan tertuduh pada mana-mana peringkat perbicaraan jika, atas alasan yang direkodkan oleh Mahkamah, pertuduhan itu sama sekali tidak berasas;
(h) jika setelah mengambil keterangan itu, Mahkamah berpendapat ada alasan untuk menganggap bahawa tertuduh itu telah melakukan kesalahan seperti yang dipertuduhkan itu, tertuduh hendaklah dipanggil untuk membela dirinya dan memberi keterangannya, dan hendaklah pada bila-bila masa apabila membuat pembelaannya dibenarkan memanggilkan semula dan menyoal balas mana-mana juga saksi melalui Hakim;
(i) jika tertuduh itu memberi apa-apa pernyataan bertulis Mahkamah hendaklah memfailkan pernyataan itu bersama-sama dengan rekodnya;
(j) jika tertuduh itu memohon kepada Mahkamah supaya mengeluarkan saman untuk meminta kehadiran mana-mana saksi (sama ada ia telah atau belum diperiksa berkenaan dengan kes itu sebelumnya) untuk tujuan diperiksa atau untuk menunjukkan sebarang dokumen atau barang lain, Mahkamah hendaklah mengeluarkan proses melainkan jika ia berpendapat permohonan yang seumpamanya itu patut ditolak atas alasan bahawa ianya dibuat dengan tujuan mengganggu atau melambatkan atau menjejaskan matlamat keadilan, dan alasan itu hendaklah direkodkan secara bertulis;
(k) (i) jika Mahkamah berpendapat tertuduh tidak bersalah, maka Mahkamah hendaklah merekodkan perintah pembebasan;
(ii) jika Mahkamah berpendapat tertuduh bersalah atau jika pengakuan salahnya telah direkodkan dan diterima, Mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang;
(l) apabila prosiding yang telah dijalankan itu berpunca daripada aduan yang dibuat dengan jalan ikrar di bawah seksyen 72 dan pada hari yang ditetapkan untuk pembicaraan kes itu pengadu tidak hadir, Mahkamah boleh atas budibicaranya, walau apapun yang diperuntukkan terdahulu daripada ini, membebaskan orang yang dituduh itu pada bila-bila masa juga sebelum memanggilnya untuk membela diri.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.