ENAKMEN 4 TAHUN 2006
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM 2006

BAHAGIAN IX-MEMELUK AGAMA ISLAM



Seksyen 111. Pendaftaran Mualaf

(1) Seseorang yang telah memeluk agama Islam boleh memohon kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk pendaftaran sebagai mualaf.

(2) Jika Pendaftar berpuas hati bahawa kehendak-kehendak seksyen 107 telah dipenuhi berkenaan dengan pemohon itu, Pendaftar boleh mendaftarkan pemelukan agama Islam oleh pemohon itu dengan mencatatkan dalam Daftar Mualaf nama pemohon itu dan butir-butir lain sebagaimana yang dikehendaki dalam Daf tar Mualaf.

(3) Pendaftar hendaklah juga menentukan tarikh pemelukan agama Islam oleh pemohon itu dan mencatatkan tarikh itu dalam Daftar Mualaf.

(4) Untuk memuaskan hatinya tentang hakikat dan tarikh pemelukan agama Islam oleh pemohon, dan butir-butir lain yang hendak dicatatkan dalam Daftar Mualaf, Pendaftar boleh meminta apa-apa keterangan yang difikirkannya perlu; tetapi subseksyen ini tidak boleh ditafsirkan sebagai menghalang Pendaftar daripada hanya bergantung pada kata-kata pemohon setakat yang berkenaan dengan hakikat dan tarikh pemelukan agama Islam itu.

(5) Jika Pendaftar tidak berpuas hati bahawa kehendak-kehendak seksyen 107 telah dipenuhi berkenaan dengan pemohon itu, dia boleh membenarkan pemohon itu mengucap, di hadapannya atau di hadapan mana-mana pegawainya, dua kalimah Syahadah mengikut kehendak-kehendak seksyen itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.