ENAKMEN 12 TAHUN 1994
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1994

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 8 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 99. Pemeriksaan balas tentang kenyataan bertulis yang dahulu.

(1) Seseorang saksi boleh diperiksa-balas tentang kenyataan-kenyataan yang dahulunya dibuat olehnya dengan bertulis atau diturunkan menjadi tulisan, dan yang berkaitan dengan perkara-perkara yang menjadi soal dalam guaman atau prosiding dalam mana ia diperiksa-balas itu, dengan tiada tulisan itu ditunjukkan kepadanya atau dibuktikan; akan tetapi jika sekiranya dimaksudkan hendak menyangkal saksi itu dengan jalan tulisan itu, maka saksi itu mestilah, sebelum tulisan itu boleh dibuktikan, diminta supaya mengambil perhatian atas bahagian-bahagian tulisan yang hendak digunakan bagi maksud menyangkalnya.

(2) Jika seseorang saksi, apabila diperiksa-balas tentang keterangan lisan yang dahulunya dibuat olehnya yang berkaitan dengan perkara-perkara yang menjadi soal di dalam guaman atau prosiding dalam mana dia diperiksa-balas itu dan yang tidak bersesuaian dengan keterangannya yang sekarang, tidak mengaku dengan terangnya bahawa dia telah membuat kenyataan itu, maka bukti bolehlah diberi yang dia telah sebenarnya membuat keterangan lisan itu; akan tetapi sebelum bukti itu diberi hal keadaan kenyataan yang dikatakan itu, yang cukup untuk menentukan peristiwa yang dia telah membuat kenyataan itu mestilah disebutkan kepada saksi itu, dan dia mestilah ditanya sama ada dia telah membuat kenyataan itu atau tidak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.