ENAKMEN 1 TAHUN 1990
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1990
BAHAGIAN II - MENGENAI BUKTI
BAB 5 - KETERANGAN DOKUMENTAR
Seksyen 50. Keterangan sekunder.
Keterangan sekunder adalah termasuk-
(a)
salinan yang diperakui menurut peruntukan yang terkandung kemudian daripada ini;
(b)
salinan yang dibuat daripada naskhah asal dengan jalan proses mesin, yang sendirinya adalah mempastikan tepatnya salinan itu, dan juga salinan yang dibandingkan dengan salinan itu;
(c)
salinan yang dibuat daripada atau yang dibandingkan dengan naskhah asal;
(d)
naskhah bertimbal dokumen terhadap pihak yang tidak menyempurnakannya;
(e)
penjelasan lisan mengenai kandungan sesuatu dokumen, yang diberi oleh seseorang yang telah melihat sendiri dokumen itu.
MISALAN
(a)
Sesuatu fotograf naskhah asal adalah keterangan sekunder mengenai kandungannya, walaupun fotograf dan naskhah asal itu tidak dibandingkan, jika sekiranya dibuktikan bahawa benda yang telah difotograf itu adalah naskhah asal.
(b)
Sesuatu salinan yang telah dibandingkan dengan salinan surat yang telah dibuat dengan mesin penyalin adalah keterangan sekunder mengenai kandungan surat itu jika sekiranya dibuktikan bahawa salinan yang dibuat daripada mesin penyalin itu telah dibuat daripada naskhah asal.
(c)
Sesuatu salinan yang disalin daripada salinan dan yang kemudiannya dibandingkan dengan naskhah asal adalah keterangan sekunder; akan tetapi salinan yang tidak dibandingkan dengan naskhah asal itu bukanlah keterangan sekunder mengenai naskhah asalnya, walaupun salinan yang daripadanya ia telah dibuat telah dibandingkan dengan naskhah asal.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.