ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN X - ACARA DALAM PEMBICARAAN JENAYAH



Seksyen 210. Peraturan memohon Ulangbicara dalam kes-kes jenayah.


(1) Mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan keputusan mana-mana Mahkamah Kadi atau Mahkamah Kadi Besar boleh merayu kepada Mahkamah Ulangbicara dengan menyerahkan notis ulangbicaranya di Mahkamah yang membuat keputusan itu dalam tempoh sepuluh hari dari tarikh keputusan itu dibuat. Notis itu hendaklah menyatakan dengan tepatnya perkara yang hendak dirayukan itu dan dialamatkan kepada Mahkamah Ulangbicara.

(2) Notis Ulangbicara itu hendaklah diserahkan dalam lima salinan dan hendaklah mengandungi alamat pihak yang merayu dan peguamnya jika ada dan alamat pihak menentang dan peguamnya jika ada.

(3) Apabila notis itu diserahkan kepada Mahkamah yang tertentu maka bayaran wang penyerahan hendaklah dikenakan tetapi tidak ada apa-apa bayaran dikenakan ke atas notis yang diserahkan oleh Pendakwa Ugama.

(4) Apabila diterima sahaja notis ulangbicara itu Mahkamah yang menerimanya hendaklah menghantar 3 daripada salinan, notis itu kepada Mahkamah Ulangbicara dan satu salinan kepada pihak menentang serta menyiapkan alasan keputusan kes itu yang ditandatangani oleh pegawai yang membuat keputusan itu.

(5) Alasan keputusan itu hendaklah dihantar kepada pihak yang merayu dengan cara pos berdaftar. Dalam tempoh sepuluh hari dari tarikh penerimaannya itu maka pihak merayu hendaklah menyerahkan kepada Mahkamah yang membuat keputusan itu lima salinan Surat Rayuan dengan mengandungi alasan-alasan rayuannya.

(6) Apabila menerima surat rayuan itu, Mahkamah itu pun hendaklah menyiapkan lima salinan Rekod Ulangbicara satu-satunya mengandungi satu surat pertuduhan, satu salinan Notis Ulangbicara, satu salinan alasan keputusan, satu salinan Surat Rayuan dan satu salinan catatan-catatan pembicaraan dengan satu salinan senarai barang-barang kes. Tiap-tiap satu salinan Rekod Ulangbicara hendaklah mengandungi perakuan Mahkamah itu menyatakan salinan itu adalah diperakui sebagai satu salinan sah dan dicap dengan mohor Mahkamah itu.

(7) Tiga salinan Rekod Ulangbicara itu hendaklah dihantar kepada Mahkamah Ulangbicara, satu salinan kepada pihak merayu dan satu salinan kepada pihak menentang.

(8) Apabila Rekod Ulangbicara itu diterima oleh Mahkamah Ulangbicara, maka Mahkamah itu hendaklah menetapkan haribulan bagi mendengar ulangbicara kes itu dan memberitahu kedua belah pihak dalam kes itu akan tarikh dan tempat di mana ulangbicara itu akan didengar.

(9) Jika Surat Rayuan tidak diserahkan dalam masa yang ditetapkan dalam seksyen-kecil (5), rayuan itu hendaklah dianggap sebagai telah ditarik balik dan Mahkamah yang membicarakan kes itu hendaklah mengarahkan bagi hukumannya jika belum lagi dikuatkuasakan dijalankan.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.