ENAKMEN 15 TAHUN 1992
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 1992

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN
PERMULAAN KEPADA PERKAHWINAN



Seksyen 16. Permohonan untuk kebenaran berkahwin.

(1) Apabila dikehendaki untuk mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan di Negeri Sabah, tiap-tiap satu pihak kepada perkahwinan yang dicadangkan itu hendaklah memohon dalam borang yang ditetapkan untuk kebenaran berkahwin kepada Pendaftar bagi kariah Masjid di mana pihak berkenaan itu bermastautin.

(2) Jika pihak lelaki bermastautin di kariah Masjid yang berlainan dari kawasan pihak perempuan, atau bermastautin di mana-mana Negeri, permohonan hendaklah mengandungi atau disertai dengan penyataan Pendaftar bagi kariah Masjid atau oleh pihak berkuasa yang berhak bagi Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan, yang bermaksud bahawa sejauh yang dapat dipastikannya perkara-perkara yang disebut dalam permohonan itu adalah benar.

(3) Pendaftar tersebut tidak boleh mengakadnikahkan mana-mana orang yang datang daripada luar Negeri Sabah, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kadi di tempat orang itu lazimnya tinggal:

Dengan syarat bahawa jika tempat sedemikian itu tidak mempunyai Kadi maka kebenaran itu hendaklah diperolehi dari mana-mana pihak yang berkuasa di tempat itu.

(4) Permohonan tiap-tiap satu pihak hendaklah disampaikan kepada Pendaftar sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh yang dicadangkan bagi perkahwinan itu, tetapi Pendaftar boleh membenarkan masa yang lebih singkat dalam mana-mana kes tertentu.

(5) Permohonan kedua-dua pihak hendaklah dianggap sebagai suatu permohonan bersama.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.