ENAKMEN 4 TAHUN 1996
ENAKMEN ACARA JENAYAH SYARIAH (NEGERI PULAU PINANG) 1996

BAHAGIAN V - PROSIDING DALAM PENDAKWAAN
BAB 10 - PEMBEBASAN ATAU SABITAN YANG DAHULU



Seksyen 134. Seorang yang telah disabit atau dibebaskan tidak boleh dibicarakan lagi bagi kesalahan yang sama.

(1) Seseorang yang telah dibicarakan oleh Mahkamah yang mempunyai bidangkuasa kompeten bagi suatu kesalahan dan telah disabitkan atau dibebaskan daripada kesalahan tersebut tidaklah, selama sabitan atau pembebasan tersebut
masih berkuatkuasa, boleh dibicarakan lagi bagi kesalahan yang sama, atau atas fakta-fakta yang sama untuk apa jua kesalahan lain yang mana pertuduhan yang lain dibuat terhadapnya di bawah seksyen 91 atau yang mana dia boleh disabitkan di bawah seksyen 92.

(2) Seseorang yang telah dibebaskan atau disabitkan atas apa-apa kesalahan boleh kemudiannya dibicarakan untuk apa-apa kesalahan berlainan yang mana suatu pertuduhan berasingan boleh dibuat terhadapnya dalam perbicaraannya dahulu di bawah subseksyen 90 (1).

(3) Seseorang yang telah disabitkan untuk sesuatu kesalahan yang terjadi daripada sesuatu perbuatan yang mengakibatkan perbuatan yang lain dan perbuatan yang lain itu bersama dengan perbuatan yang asal menjadikannya suatu kesalahan yang lain, boleh kemudiannya dibicarakan untuk kesalahan yang akhir sekali disebutkan itu jika perbuatan yang diakibatkan itu belum berlaku atau belum diketahui oleh Mahkamah telah dilakukan ketika dia disabitkan.

(4) Seseorang yang dibebaskan atau disabitkan untuk mana-mana kesalahan yang dijadikan oleh mana-mana perbuatan bolehlah, tanpa mengira pembebasan atau sabitan itu, kemudiannya dipertuduh dan dibicarakan untuk mana-mana kesalahan yang lain yang dijadikan oleh perbuatan-perbuatan yang sama yang dia mungkin telah lakukan, jika Mahkamah yang dia pertama kalinya dibicarakan tidak berkompeten untuk membicarakan kesalahan yang dia kemudiannya dipertuduh.

(5) Penolakan sesuatu aduan, atau pelepasan seorang tertuduh, bukanlah suatu pembebasan bagi maksud seksyen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.