ENAKMEN 8 TAHUN 1983
ENAKMEN KELUARGA ISLAM 1983

BAHAGIAN II - PERKAHWINAN DAN PENDAFTARAN



Seksyen 26. Pendaftaran sukarela perkahwinan yang diakadnikah dahulunya di bawah mana-mana undang-undang.

(1) Walau apa jua peruntukan seksyen 7 dan seksyen 24, pihak-pihak kepada sesuatu perkahwinan mengikut Hukum Syarak yang diakadnikahkan di bawah mana-mana undang-undang sebelum tarikh Enakmen ini berkuatkuasa boleh, jika perkahwinan itu belum didaftarkan, memohon pada bila-bila masa kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan untuk didaftarkan perkahwinan itu.

(2) Pendaftar boleh menghendaki pihak-pihak kepada perkahwinan itu hadir di hadapannya dan mengemukakan apa-apa keterangan yang dikehendakinya mengenai perkahwinan itu, sama ada secara lisan atau dokumen, dan memberi apa-apa butir lain sebagaimana yang dikehendaki olehnya.

(3) Pendaftar boleh setelah puashati tentang kebenaran pernyataan-pernyataan yang terkandung dalam permohonan itu, mendaftarkan perkahwinan itu dengan mencatatkan butir-butir mengenai di dalam Buku Daftar Nikah yang ditetapkan bagi maksud ini.

(4) Catatan perkahwinan dalam Buku Daftar Nikah itu hendaklah ditandatangani oleh Pendaftar yang membuat catatan itu.

(5) Selepas perkahwinan itu didaftarkan, satu Sijil Nikah yang ditandatangani oleh Ketua Pendaftar dan dimeteri dengan meteri jawatannya hendaklah diserahkan atau dihantar kepada suami dan satu salinan lagi kepada isteri.

(6) Pendaftar tidak boleh mendaftarkan sesuatu perkahwinan di bawah seksyen ini jika ia berpuashati bahawa perkahwinan itu adalah tidak diakui di bawah Enakmen ini.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.