ORDINAN 47 TAHUN 2001
ORDINAN KETERANGAN SYARIAH, 2001

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 3 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 115. Pengemukaan dokumen dan terjemahannya.

(1) Seseorang saksi yang disaman untuk mengemukakan sesuatu dokumen hendaklah, jika dokumen itu ada dalam miliknya atau di bawah kuasanya, membawa dokumen itu ke Mahkamah walaupun mungkin ada apa-apa bantahan terhadap pengemukaannya atau kebolehterimaannya. Keesahan apa-apa bantahan sedemikian hendaklah diputuskan oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh, jika didapatinya patut, memeriksa dokumen itu melainkan jika dokumen itu merujuk kepada hal-ehwal Negara, atau mengambil keterangan lain bagi membolehkannya menentukan kebolehterimaan dokumen itu.

(3) Jika bagi maksud itu adalah perlu untuk menyebabkan mana-mana dokumen diterjemahkan, maka Mahkamah boleh, jika difikirkannya patut, mengarahkan penterjemah supaya merahsiakan kandungan dokumen itu melainkan jika dokumen itu akan dikemukakan dalam keterangan.




Copyright PNMB-LawNet. All rights reserved.