ORDINAN 46 TAHUN 2001
ORDINAN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH 2001

BAHAGIAN I - PERMULAAN



Seksyen 2. Tafsiran.

Dalam Ordinan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain-

"baligh" ertinya sudah cukup umur mengikut Undang-Undang Islam;

"fatwa" ertinya fatwa yang dikeluarkan di bawah seksyen 37 Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 [Bab 41];

"Hakim" atau "Hakim Syariah" ertinya Ketua Hakim Syarie atau Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah atau Hakim Mahkamah Rendah Syariah mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah seksyen 4, 5, 6 atau 8 Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42];

"lian" ertinya sesuatu pengataan yang dibuat oleh seseorang lelaki dengan bersumpah mengikut Undang-Undang Islam bahawa isterinya telah melakukan zina;

"liwat" ertinya perhubungan seks sesama lelaki;

"Mahkamah" ertinya Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, atau Mahkamah Rayuan Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dibentuk di bawah seksyen 3 Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42];

"Majlis" ertinya Majlis Islam Sarawak yang ditubuhkan di bawah seksyen 3 Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 [Bab 41];

"Mufti" ertinya Mufti yang dilantik di bawah seksyen 35 Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 [Bab 41];

"muncikari" ertinya seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi Undang-Undang Islam;

"musahaqah" ertinya perhubungan seks sesama perempuan;

"Negeri" ertinya Negeri Sarawak;

"pusat pemulihan diluluskan" ertinya mana-mana tempat atau institusi yang ditetapkan sebagai sedemikian di bawah seksyen 51;

"qazaf" ertinya membuat pengataan palsu terhadap mana-mana orang;

"rumah diluluskan" ertinya mana-mana tempat atau institusi yang ditetapkan sebagai sedemikian di bawah seksyen 51;

"sumbang mahram" ertinya persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang dilarang mengahwini satu sama lain di bawah Undang-Undang Islam;

"takfir" ertinya menganggap seseorang orang Islam sebagai orang bukan Islam;

"Undang-Undang Islam" ertinya Undang-Undang Islam mengikut Mazhab' Syafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanbali atau Hanafi sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis;

"zina" ertinya persetubuhan antara lelaki dan perempuan tanpa nikah.

(2) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Ordinan ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak, 2001 [Bab 41], Ordinan Mahkamah Syariah, 2001 [Bab 42], Kanun Keseksaan [Akta 574] atau mana-mana undang-undang bertulis lain hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Ordinan-Ordinan atau undang-undang bertulis itu setakat yang ertinya itu tidak bercanggah dengan Undang-Undang Islam.

(3) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Ordinan ini yang disenaraikan dalam Jadual, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.