ENAKMEN 5 TAHUN 2004
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM (NEGERI PULAU PINANG) 2004
BAHAGIAN X - AM
Seksyen 135. Kuasa bagi membuat kaedah-kaedah.
(1) Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis, boleh, melalui pemberitahuan dalam
Warta
, membuat kaedah-kaedah untuk mengawal amalan dan tatacara dalam semua perbicaraan hal-ehwal suami isteri di bawah Enakmen ini mengikut sebagaimana yang difikirkannya bermanfaat dan kaedah-kaedah untuk menetap dan mengawal fi dan kos yang kena dibayar dalam semua perbicaraan itu; tertakluk kepadanya itu, semua perbicaraan di bawah Enakmen ini hendaklah dikawal oleh amalan dan tatacara Mahkamah yang ditetapkan oleh Enakmen Pentadbiran, setakat mana amalan dan tatacara itu tidak berlawanan dengan Enakmen ini.
(2) Mengenai amalan dan tatacara dalam perbicaraan hal-ehwal suami isteri yang tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Enakmen ini atau dalam apa-apa kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini atau dalam Enakmen Pentadbiran, Mahkamah boleh memakai apa-apa amalan dan tatacara yang difikirkannya wajar bagi mengelakkan ketidakadilan dan bagi menyelesaikan perkara-perkara yang dipersoalkan antara pihak-pihak.
(3) Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Majlis, boleh, melalui pemberitahuan dalam
Warta
, membuat kaedah-kaedah bagi maksud Enakmen ini dan, tanpa menyentuh keluasan yang tersebut itu, kaedah-kaedah itu boleh mengadakan peruntukan-peruntukan bagi—
(a)
cara bagaimana Pendaftar-Pendaftar Perkahwinan, Perceraian, dan Ruju’ Orang Islam hendak menjalankan kuasa-kuasa yang diberi kepada mereka oleh Enakmen ini;
(b)
bentuk Daftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ dan surat perakuan nikah, perceraian dan ruju’ dan cara bagaimana Daftar dan surat perakuan dikehendaki disimpan;
(c)
membekal dan menyimpan dengan selamat Daftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’, buku nota-buku nota Pendaftar dan segala akuan yang dibuat bagi maksud Enakmen ini;
(d)
menyedia dan mengemukakan penyata-penyata perkahwinan, perceraian dan ruju’ yang didaftarkan di bawah Enakmen ini;
(e)
bentuk apa-apa perakuan, notis, atau dokumen lain yang dikehendaki bagi maksud melaksanakan Enakmen ini;
(f)
membuat pencarian-pencarian dan memberi salinan-salinan yang diperakui;
(g)
fi yang boleh dikenakan bagi maksud Enakmen ini;
(h)
hukuman kerana melanggar atau gagal mematuhi mana-mana kaedah yang dibuat di bawah Enakmen ini; dan
(i)
perkara-perkara lain bagi maksud melaksanakan Enakmen ini.
Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.