ENAKMEN 12 TAHUN 2003
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN I - KERELEVANAN
BAB 2 - QARINAH
Am



Seksyen 8. Motif, persediaan dan kelakuan yang dahulu atau kemudian

(1) Apa-apa fakta ialah qarinah jika fakta itu menunjukkan atau menjadi motif atau persediaan bagi mana-mana fakta persoalan atau fakta relevan.

(2) Kelakuan mana-mana pihak, atau kelakuan mana-mana ejen kepada mana-mana pihak, dalam apa-apa guaman atau prosiding berkenaan dengan guaman atau prosiding itu, atau berkenaan dengan apa-apa fakta persoalan dalamnya atau yang relevan dengannya, dan kelakuan mana-mana orang yang kesalahan terhadapnya menjadi perkara mana-mana prosiding, ialah qarinah jika kelakuan itu mempengaruhi atau dipengaruhi oleh mana-mana fakta persoalan atau fakta relevan, dan sama ada kelakuan itu berlaku dahulu atau kemudian daripadanya.

Huraian 1— Perkataan “kelakuan” dalam seksyen ini tidak termasuk pernyataan melainkan jika pernyataan itu menyertai dan menghuraikan perbuatan selain pernyataan; tetapi huraian ini tidaklah menyentuh kerelevanan penyataan di bawah mana-mana seksyen lain dalam Enakmen ini.

Huraian 2— Apabila kelakuan mana-mana orang ialah qarinah, apa-apa pernyataan yang dibuat kepadanya atau di hadapan dan dengan didengarinya yang menyentuh kelakuannya ialah qarinah.

MISALAN

(a) Soalnya ialah sama ada sesuatu dokumen tertentu ialah wasiat A.

Fakta bahawa tidak lama sebelum tarikh wasiat yang dikatakan itu, A telah bertanya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan peruntukan-peruntukan dalam wasiat yang dikatakan itu, bahawa dia telah berunding dengan peguam berkenaan dengan pembuatan wasiat itu, dan bahawa dia telah menyebabkan draf wasiat yang lain disediakan yang tidak dipersetujuinya ialah qarinah.

(b) Soalnya ialah sama ada A telah melakukan sesuatu jenayah.

Fakta bahawa A telah melarikan diri selepas menerima suatu surat yang memberinya amaran bahawa siasatan sedang dijalankan bagi mencari penjenayah itu dan kandungan surat itu ialah qarinah.

(c) A dituduh melakukan suatu jenayah.

Fakta bahawa sejurus selepas berlakunya jenayah yang dikatakan itu dia melarikan diri atau telah cuba menyembunyikan benda yang telah atau mungkin telah digunakan dalam melakukan jenayah itu ialah qarinah.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.