ENAKMEN 12 TAHUN 2003
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH (NEGERI SEMBILAN) 2003

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN KESAN KETERANGAN
BAB 3 - PEMERIKSAAN SAKSI



Seksyen 90. Mahkamah hendaklah memutuskan tentang kebolehterimaan keterangan

(1) Apabila salah satu pihak bercadang hendak memberikan keterangan mengenai apa-apa fakta, Mahkamah boleh bertanya pihak yang bercadang hendak memberikan keterangan itu bagaimana fakta yang dikatakan itu, jika dibuktikan, akan menjadi qarinah; dan Mahkamah hendaklah menerima keterangan itu jika difikirkannya bahawa fakta itu, jika dibuktikan, akan menjadi qarinah, dan tidak selainnya.

(2) Jika fakta yang dicadangkan hendak dibuktikan itu ialah suatu fakta yang keterangan mengenainya boleh diterima hanya setelah sesuatu fakta lain dibuktikan, maka fakta yang akhir disebut itu mestilah dibuktikan sebelum keterangan diberikan mengenai fakta yang mula-mula disebut itu, melainkan jika pihak itu mengaku janji untuk membuktikan fakta itu dan Mahkamah berpuas hati dengan aku janji itu.

(3) Jika kerelevanan suatu fakta yang dikatakan bergantung pada terbuktinya suatu fakta lain yang dikatakan terlebih dahulu, maka Mahkamah boleh, menurut budi bicaranya, sama ada membenarkan keterangan mengenai fakta yang pertama itu diberikan sebelum fakta yang kedua itu dibuktikan, atau menghendaki supaya keterangan diberikan mengenai fakta yang kedua itu sebelum keterangan diberikan mengenai fakta yang pertama itu.

MISALAN
(a) Adalah dicadangkan untuk membuktikan suatu pernyataan mengenai suatu fakta relevan yang telah dibuat oleh seseorang yang dikatakan telah mati, iaitu pernyataan yang ialah qarinah di bawah seksyen 20.

Fakta bahawa orang itu telah mati mestilah dibuktikan oleh orang yang bercadang hendak membuktikan pernyataan itu sebelum keterangan diberikan mengenai pernyataan itu.

(b) Adalah dicadangkan untuk membuktikan kandungan suatu dokumen yang dikatakan telah hilang dengan mengemukakan suatu salinannya.

Fakta bahawa dokumen asal itu telah hilang mestilah dibuktikan oleh orang yang bercadang hendak mengemukakan salinan itu sebelum salinan itu dikemukakan.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.