ENAKMEN 10 TAHUN 1988
KAWALAN DAN SEKATAN PENGEMBANGAN AGAMA-AGAMA BUKAN ISLAM 1988

BAHAGIAN III - PENGUATKUASAAN DAN PELBAGAI



Seksyen 11. Kesalahan-kesalahan boleh tangkap dan kes-kes boleh tangkap.

(1) Semua kesalahan dan kes di bawah Enakmen ini hendaklah disifatkan sebagai kesalahan-kesalahan boleh tangkap dan kes-kes boleh tangkap bagi maksud-maksud Kanun Prosedur Jenayah [N.M.B. Bab 6].

(2) Seorang pegawai diberikuasa atau mana-mana pegawai polis berpangkat tidak rendah daripada Inspektor boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan di bawah Enakmen ini.

(3) Apabila seorang pegawai diberikuasa menjalankan kuasa penangkapannya di bawah seksyenkecil (2), ia hendaklah menyatakan jawatan dan kuasanya dan mengemukakan untuk diperiksa kepada mana-mana orang yang terhadapnya ia bertindak, suatu kad kuasa yang ditentukan oleh Raja dalam Mesyuarat.

(4) Seorang pegawai diberikuasa boleh meminta mana-mana pegawai polis bagi membantu dalam menjalankan kuasa-kuasa yang diberi di bawah seksyenkecil (2), dan adalah menjadi tugas setiap pegawai polis mematuhi mana-mana permintaan itu.

(5) Seorang pegawai diberikuasa membuat suatu penangkapan di bawah seksyenkecil (2) hendaklah tanpa kelewatan yang tidak sepatutnya menyerahkan orang yang ditangkap itu kepada seorang pegawai polis atau membawa orang itu ke balai polis yang berhampiran; dan peruntukan-peruntukan Kanun Prosedur Jenayah hendaklah dipakai berhubung dengan orang yang ditangkap itu.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.