ENAKMEN 13 TAHUN 1993
ENAKMEN KETERANGAN SYARIAH 1993

BAHAGIAN III - PENGEMUKAAN DAN NATIJAH KETERANGAN
BAB 7 - SAKSI



Seksyen 83. Siapa yang boleh memberi keterangan sebagai saksi (Syahadah atau bayyinah).

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan peruntukan seksyen ini semua orang Islam adalah kompeten memberi keterangan sebagai saksi (syahadah atau bayyinah) dengan syarat mereka hendaklah sempurna akal, baligh, adil, mempunyai ingatan yang baik dan tidak melakukan tohmah.

(2) Seseorang yang bukan Islam adalah kompeten memberi bayyinah ke atas seorang Islam jika keterangan itu boleh diterima mengikut Hukum Syarak.

    Huraian -
(a)
Bayyinah seorang pakar bukan Islam terhadap seorang Islam adalah boleh diterima jika perlu.

(b)
Seorang yang bukan Islam adalah kompeten memberi bayyinah ke atas seorang bukan Islam yang lain.

(3) Seorang yang tidak bersifat adil yang mana watak buruknya mengatasi watak baiknya atau sentiasa bercakap dusta atau rosak akhlaknya adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah.

(4) Apabila orang itu bukan orang Islam ia mestilah boleh dipercayai mengikut agamanya.

(5) Seorang kanak-kanak yang belum
baligh atau seorang yang baligh tetapi terganggu atau tercacat akal fikirannya adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah.

Huraian - Keterangan kanak-kanak dalam kes kecederaan yang dilakukan oleh setengah kanak-kanak, ke atas yang lain selama mana mereka tidak berselisih faham dan masih berada di tempat kejadian itu adalah boleh diterima.

(6) Seorang yang dikenali dengan lemah ingatan atau pelupa atau salah ingatan adalah kompeten memberi bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah.

(7) Seorang yang diragui kebolehpercayaannya kerana hubungan baik dan mempunyai kepentingan dengan pihak yang berkaitan adalah kompeten memberi
bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah bagi pihak itu.

(8) Seorang yang diragui kebolehpercayaannya kerana hubungan buruk dengan pihak yang berkaitan adalah kompeten memberi
bayyinah tetapi tidak kompeten memberi syahadah terhadap pihak itu.

Huraian - "Adil" ertinya seorang Islam yang termaklum menunaikan kewajipan agama, menjauhi daripada dosa-dosa besar dan tidak mengekalkan dosa-dosa kecil:

Dengan syarat bahawa jika saksi itu seorang bukan Islam dia hendaklah boleh dipercayai mengikut agamanya atau kepercayaannya.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.