ENAKMEN 8 TAHUN 1990
ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH 1989

BAHAGIAN II - MENGENAI BUKTI
Bab V - KETERANGAN SURATAN



Seksyen 49. Keterangan asal.

Keterangan asal ertinya suratan asal yang dikemukakan untuk pemeriksaan Mahkamah.

Huraian 1
-

Jika sesuatu suratan disempurnakan dengan beberapa naskah, maka tiap-tiap satu naskah itu adalah keterangan asal bagi suratan itu.

Jika sesuatu suratan disempurnakan dengan naskah bertimbal dan tiap-tiap satu naskah bertimbal itu disempurnakan oleh satu atau setengah pihak sahaja, maka tiap-tiap satu naskah bertimbal itu adalah keterangan asal terhadap pihak yang menyempurnakannya itu.

Huraian 2
-

Jika beberapa suratan adalah semuanya dibuat dengan satu proses yang seragam seperti dalam hal cetakan, litograp atau gambarfoto tiap-tiap satunya adalah keterangan asal mengenai kandungan yang lainnya itu, akan tetapi jika suratan itu adalah semuanya salinan daripada satu naskah asal maka suratan itu tidaklah menjadi keterangan asal mengenai kandungan naskah asal.

MISALAN

Seseorang adalah dibuktikan sebagai telah ada di dalam miliknya beberapa pelekat, kesemuanya dicetak pada satu masa daripada satu naskah asal. Mana-mana satu daripada pelekat itu adalah keterangan asal mengenai kandungan mana-mana satu yang lain itu, akan tetapi tiadalah satupun daripadanya menjadi keterangan asal mengenai kandungan naskah itu.





Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.