ENAKMEN 8 TAHUN 1982
ENAKMEN PENTADBIRAN UGAMA ISLAM DAN ADAT RESAM MELAYU PAHANG 1982

BAHAGIAN X - ACARA DALAM PEMBICARAAN JENAYAH



Seksyen 194. Oleh siapa dan bagaimana saman diserahkan atau disempurnakan.


(1) Saman yang dikeluarkan di bawah seksyen 193 pada Enakmen ini hendaklah diserahkan oleh seorang penyerah saman Mahkamah Kadi atau oleh seorang anggota polis.

(2) Saman itu hendaklah diserahkan kepada orang yang kena saman itu sendiri jika boleh dengan ditunjukkan kepadanya salinan asal saman itu dan tinggalkan padanya salinannya sahaja.

(3) Orang yang menyerahkan itu hendaklah meminta orang yang kena saman itu menandatangani di belakang salinan asal saman itu sebagai keterangan yang saman itu telah diterimanya dan lepas itu si penyerah saman itu hendaklah mengembalikan salinan asal saman itu kepada Mahkamah yang mengeluarkannya.

(4) Jika tandatangan yang kena saman itu tidak dapat diambil, maka si penyerah saman selepas meninggalkan satu salinan saman itu kepada orang yang kena saman itu sendiri hendaklah mencatatkan akan cara penyerahannya itu dan waktunya di belakang salinan asal saman itu dan kemudiannya hendaklah dikembalikan kepada Mahkamah yang mengeluarkannya.

(5) Jika orang yang kena saman itu tidak dapat dikesan, maka si penyerah saman itu bolehlah meninggalkan satu salinan saman itu kepada seorang keluarga orang kena saman itu yang sudah dewasa atau kepada orang gaji yang tinggal bersama dengannya. Si penyerah saman hendaklah mencatatkan akan perbuatannya itu di belakang salinan asal saman itu dan kemudiannya dikembalikan kepada Mahkamah yang mengeluarkannya.

(6) Jika orang yang kena saman itu tidak dapat dikesan dan tidak ada seorang keluarganya yang dewasa atau orang gajinya dapat ditemui di rumah yang dipercayai ia lazim tinggal, maka dengan keizinan Mahkamah boleh satu salinan saman itu dilekatkan pada mana-mana tempat rumah itu yang senang dinampak.




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.