Tr. P.U. 4/2002
ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (HUDUD DAN QISAS) TERENGGANU 1423H/2002M


JADUAL V
JADUAL V

Seksyen 56

KAEDAH-KAEDAH HUKUMAN SEBAT

1.Kaedah-kaedah dalam Jadual ini hendaklah dipakai untuk melaksanakan hukuman sebat di bawah seksyen 56 Enakmen ini.

2.Hukuman sebat yang akan dijalankan ke atas seorang pesalah hendaklah dijalankan oleh seorang pegawai yang ditugaskan khas oleh pihak berkuasa penjara di tempat dan pada masa yang diarahkan oleh Mahkamah dan hendaklah dihadiri dan disaksikan oleh seorang pegawai perubatan Islam dan sekurang-kurangnya empat orang islam sebagai saksi; dengan syarat bahawa sebelum hukuman itu dijalankan pesalah itu hendaklah diperiksa oleh pegawai perubatan itu dan disahkan sebagai sihat dan berupaya menjalani hukuman sebat itu.

3.Tiada hukuman sebat boleh dijalankan ke atas seseorang pesalah melainkan setelah tamat tempoh 14 hari selepas daripada tarikh hukuman itu dijatuhkan; dan jika ada rayuan, hukuman itu hendaklah dijalankan dalam tempoh yang seberapa segera selepas daripada hukuman itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan Syariah Khas.

4.Hukuman sebat itu hendaklah dijalankan dengan cara pegawai tersebut memukul pesalah itu dengan rotan yang mana ukurannya (kecuali dalam kes yang disebut dalam kaedah 8 (2) (ii) ) ialah satu meter panjang dan satu sentimeter garis pusat (diameter).

5.Hukuman sebat itu hendaklah dijalankan dengan cara membahagikan pukulan di merata-rata tubuh badan kecuali muka, kepala, dada dan kemaluan.

6.Hukuman sebat itu hendaklah dijalankan dengan cara pukulan yang sederhana yang mana pegawai menjalankan hukuman itu tidaklah boleh mengangkat rotan penyebat itu tinggi hingga ke paras kepalanya; dan pukulan itu hendaklah diberi berturut-turut dan tidak melebihi bilangan yang diperintahkan oleh Mahkamah.

7.Ketika menerima sebatan, pesalah itu hendaklah berdiri dan memakai pakaian nipis yang menutup auratnya mengikut Hukum Syarak.

8.(1) Jika dalam masa sebatan itu dijalankan, pesalah itu didapati tidak mampu atau tidak berupaya lagi menerima sebatan itu, maka atas pengesahan pegawai perubatan itu, sebatan itu hendaklah diberhentikan dengan serta merta dan ditangguhkan sehingga Mahkamah memberi satu arahan baru untuk menyambung semula hukuman sebat itu; dan buat sementara waktu pesalah itu hendaklah ditahan dalam penjara atau dibebaskan dengan jaminan.

(2) Arahan itu hendaklah dibuat dengan berpandukan kepada laporan pegawai perubatan seperti berikut:

    (i) sekiranya mengikut laporan itu pesalah itu ada harapan sembuh daripada sakitnya, maka hukuman sebat itu hendaklah disambung semula dengan seberapa segera apabila ia pulih daripada sakitnya; dan
    (ii) sekiranya mengikut laporan itu pesalah itu tidak ada harapan sembuh daripada sakitnya, walau apa pun sakitnya itu, maka hukuman sebat itu hendaklah diteruskan juga di suatu masa yang sesuai tetapi rotan yang akan digunakan untuk menyambung hukuman sebat itu hendaklah terlebih ringan dan terlebih kecil daripada ukuran yang ditetapkan di bawah kaedah 4.


Diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 8 Julai 2002.
[SUK. TR. 290/12/3 Bhg. 2; PUN. TR. 15/107.]
WAN MOHD. RUBI BIN WAN JUSOH,
Setiausaha Dewan Undangan Negeri,
Terengganu




Copyright © PNMB-LawNet. All rights reserved.